Azraai jurulatih baharu Perak




MOHD. Azraai Khor Abdullah (gambar), 59, bakal menjadi ketua jurulatih Perak bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Perak sudah mengemukakan tawaran kepada Azraai untuk menyandang jawatan tersebut.

“Azraai sudah menyatakan persetujuannya untuk menerajui skuad Seladang tetapi perlu menghabiskan kontraknya dengan Negeri Sembilan sehingga 31 November ini,” jelas Zainol selepas mesyuarat eksekutif Pafa di pejabat persatuan itu di Ipoh lewat malam kelmarin.

Katanya, Pafa akan meminta Azraai menyelesaikan beberapa perkara termasuk kontraknya dengan Negeri Sembilan sebelum melatih skuad Seladang.

“Majlis eksekutif Pafa juga bersetuju dan memberi sokongan atas pengambilan Azraai bagi menggantikan Jang Jung,” tambahnya.

Jurulatih yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu dijangka menyertai pemain Perak pada awal Disember depan.

Pemilihan Azraai menamatkan teka teki yang berlegar-legar dalam kalangan penyokong Kejor Yeop Kejor mengenai siapa yang akan menjadi ketua jurulatih Perak bagi musim depan.

Sebelum ini, Jang Jung yang menjadi ketua jurulatih Perak dalam saingan Piala Malaysia dikatakan akan menerajui skuad Seladang bagi musim 2013.

Presiden Pafa pernah berkata, enam jurulatih tempatan dan luar negeri turut menyatakan hasrat bagi menerajui skuad Seladang musim depan.

Bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar telah melatih Perak selama dua musim sehingga akhir Julai lalu.

Sentuhan Norizan berjaya membawa Perak menduduki tangga keempat Liga Super musim ini.

Azraai pula telah membawa Negeri Sembilan menduduki tangga kesembilan liga dan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Selain itu, Azraai pernah mencatat sejarah gemilang bersama Kedah pada tahun 2004 dan 2009 yang lalu.

“Majlis Eksekutif Pafa turut melantik Chong Yee Fatt dan jurulatih Piala Belia, Syamsol Saad sebagai pembantu Azraai,” kata Zainol.

Yee Fatt merupakan penolong kepada Norizan pada tahun 2011 dan 2012 serta penolong kepada Jang Jung dalam aksi Piala Malaysia yang lalu.

Zainol memberitahu bahawa Timbalan Presiden Pafa, Khairul Azwan Harun dilantik sebagai pengurus pasukan dan Naib Presiden II, Isham Shahruddin pula sebagai penolong pengurus.

Seramai sepuluh pemain Perak di bawah pengawasan Yee Fatt telah memulakan latihan di Stadium Perak, Ipoh sejak kelmarin.