Penampilan sulung TAS di Thailand!


HAMPIR 200 buah kenderaan yang telah menjalani proses modifikasi menjadi tatapan pengunjung.


SEBENARNYA, nama Auto Salon telah dipatenkan di banyak negara. Tetapi semua orang mengakui bahawa jika istilahnya Auto Salon, keaslian sebenar lahir hanya dari Jepun. Jepun dan Auto Salon adalah industri yang telah terbit berpuluh-puluh tahun lamanya serta menjadi pameran aftermarket terbesar dan paling berjaya di dunia.

Sebelum ini, pameran SEMA (Specialty Equipment Market Association) di Amerika Syarikat (AS) merupakan saingannya. Namun kejatuhan ekonomi AS menyebabkan industri automotif aftermarket mereka menjadi kurang berdaya saing. Tidak disokong oleh industri hiliran bermakna pamerannya juga sepi. Pada pameran SEMA tahun lepas, buat pertama kalinya ia diadakan di kawasan luar dan bukannya di dalam dewan.

Apabila pertama kali mendengar Bangkok International Auto Salon, saya tidak rasa teruja pun. Sebelum ini ada Manila Auto Salon. Apabila bertanya kepada rakan-rakan yang pergi ke sana, semuanya kata biasa-biasa sahaja. Jadi apa istimewanya Bangkok International Auto Salon?

Pameran itu dianjurkan oleh pihak Siam Sport Syndicate Plc. Syarikat itu merupakan penganjur yang terlibat dalam pameran hiburan, subsidiari daripada Inspire Entertainment, sebuah penerbitan majalah wanita dan lelaki yang popular di Thailand.

Menariknya, pameran tersebut diadakan dengan kerjasama majalah Option Jepun yang juga merupakan pemilik mutlak Tokyo Auto Salon (TAS). Sebagai permulaan, mereka membawa 30 buah kenderaan yang telah memenangi pelbagai anugerah dalam pameran TAS awal tahun ini.

Acara yang diadakan di Impact Muang Thong Thani bermula 23 Jun hingga 1 Julai lalu itu menggunakan lesen penuh penjenamaan TAS. Hampir 200 buah kenderaan yang berkonsepkan aftermarket dipamerkan. Lebih menarik lagi, acara itu turut mendapat sokongan para pengeluar kenderaan di Thailand.

Kalau anda hendak tahu, jolokan Detroit of Asia memang sangat sesuai dengan Thailand yang mana industri automotifnya berkembang pesat. Maka, tidak hairanlah jika Ketua Pegawai Eksekutif Inspire Entertainment, Wiluck Lohtong sangat yakin dengan masa depan pameran berkonsepkan automotif aftermarket itu.

Lohtong juga percaya pameran tersebut berupaya menarik minat banyak negara untuk menjadikan Thailand sebagai hub penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran produk aftermarket.

Sebanyak 200 juta Baht (RM20 juta) digunakan untuk tujuan promosi sahaja. Patutlah ramai betul pengunjungnya, termasuklah orang Malaysia. Maklumlah, kalau hendak pergi ke Jepun berapa pula belanjanya. Lagi pun, Bangkok tidaklah sejauh mana.

Daya penarik Bangkok International Auto Salon 2012 terdiri daripada Bensopra Blitz yang juga menjadi faktor penting buat TAS di Jepun awal tahun ini. Jujurnya, saya agak terkejut apabila penganjur mampu membawa model lagenda Mazda 787B itu.

Memang serius tidak rugi siapa yang datang tengok pameran tersebut. Kalau mereka tidak datang kembali tahun depan, maknanya inilah pameran sekali seumur hidup.

Kereta seperti Honda CRZ dan Modulo konsep mungkin boleh dilihat di mana-mana sahaja replikanya. Tetapi Mazda 787B, jaguh Le mans dan World Supercar Championship itu menggunakan satu-satunya enjin R26B, tiga palam pencucuh dengan kotak gear Porsche. Memang satu-satunya model seumpamanya di dunia.

Jika ada peluang dan kesempatan, saya harap pameran sebegini boleh tiba ke Malaysia. Sudahlah kita kalah dalam sektor automotif dengan Thailand, pameran pun langsung tidak menarik. Apa lagi yang kita boleh banggakan?

Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS)? Beberapa tahun sekali penganjurannya. Pameran automotif Bangkok yang besar pun ada dua kali setahun. Itu belum dicampur dengan acara seperti Auto Salon itu, pameran Supercar, custom dan teknologi, hot rod serta macam-macam lagi. Apa pun tak boleh. Silap-silap haribulan, pameran kucing pun kita kalah nanti.