Cinta Beruang tangkap muat




JIKA diberi plot cemas, barangkali kisah seekor beruang yang terlepas dari zoo boleh diolah menjadi satu cerita yang menarik.

Hakikatnya banyak filem lain yang mengangkat haiwan sebagai watak utama. Filem Two Brothers (2001) contohnya menampilkan dua ekor harimau yang berjaya meruntun emosi penonton.

Beruang dalam Ted juga terasa luar biasa apabila seekor anak patung beruang bernama Ted tiba-tiba hidup dan bercakap dengan tuannya, John Bennett lakonan Mark Wahlberg.

Beruang versi filem Malaysia pula boleh dilihat dalam produk berjudul Cinta Beruang.

Dalam filem itu, periuk nasi dua orang pekerja Zoo Negara, Nabu lakonan Nabil serta rakannya berada di hujung tanduk selepas beruang jagaan mereka terlepas.

Bagi menyelamatkan keadaan, Nabu rela memakai kostum beruang bagi mengelakkan kes beruang terlepas itu diketahui pihak pengurusan zoo.

Taktik Nabu menjadi. Tidak seorang pun pekerja zoo menyedari penyamarannya.

Dari satu segi, ada kelainan yang dibawakan oleh Nabil dalam filem berkenaan. Kali ini Nabil memakai sut beruang, itu sahaja.

Melihat kepada idea dan garapan plot, Cinta Beruang kelihatan tidak banyak memberikan rangsangan. Filem itu ibarat untuk mengisi kekosongan slot sahaja kerana tiada filem lain yang hendak ditayangkan.

Kesungguhan untuk menghasilkan filem itu ada tetapi usaha untuk memberikan makna kepada sebuah filem itu tidak kelihatan.

Dari segi lakonan, jelas Cinta Beruang sekadar menggunakan khidmat pelawak yang tidak perlu dinafikan kemampuan mereka untuk membuatkan orang lain ketawa. Ini termasuk pelakon lama seperti Sathiya, Angeline Tan dan Khatijah Tan.