Bakti pelajar KKKL kepada masyarakat

PROGRAM kemasyarakatan anjuran KKKL memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat setempat.


SEKUMPULAN pelajar dari Kolej Komuniti Kuala Langat, (KKKL) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menjalankan usaha murni melalui Program Jelajah Kampung: Yok! Kursus di kawasan DUN Sijankang, Kuala Langat baru-baru ini.

Pada program itu, pelajar KKKL telah menyumbangkan tenaga memberi khidmat membuat kerja-kerja pendawaian elektrik di dua buah rumah selain aktiviti gotong-royong di Kampung Medan dan Kampung Sijangkang.

Pengarah KKKL, Zainah Rujihan berkata, melalui program tersebut, para pelajar dapat mempraktikkan pelajaran dalam situasi sebenar sekali gus berpeluang mendekati masyarakat setempat.

”Kerja-kerja pemasangan pendawaian elektrik yang dilakukan para pelajar dipantau sepenuhnya oleh pensyarah bagi Program Pemasangan Elektrik dari mula hingga akhir,” tambahnya.

Penghuni rumah terlibat, Hashim Sabri, 44, dari Telok Panglima Garang, Banting, Selangor berkata, beliau bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan memandangkan hidupnya yang serba kekurangan.

Pada program tersebut, pelajar-pelajar terbabit turut memberi sumbangan langsir kepada Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Sijangkang. Langsir tersebut adalah hasil kerja 30 peserta kursus jahitan langsir yang menyertai kursus ini.

Program jelajah kampung buat kali kedua itu berjaya menarik 300 peserta dari sekitar Kuala Langat untuk menyertai pelbagai kursus yang dijalankan. Antara kursus tersebut ialah kursus pembuatan tempe, coklat, asas rawatan muka, kursus orientasi peta, dan kraftangan felt iaitu sejenis kain yang dikenali felt. Kursus tersebut dianjurkan oleh KKKL.

Pengerusi Penasihat KKKL, Datuk Sulaiman Mohd. Karli berkata, aktiviti seperti itu perlu diteruskan kerana ia dapat memupuk semangat kerja berpasukan kepada golongan muda dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan selepas tamat belajar.

“Pendedahan dan penglibatan para pelajar dalam program ini dapat memahirkan diri mereka dengan ilmu yang dipelajari. Kemahiran dan kecekapan ini memudahkan mereka mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan kelak,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.