Pasukan khas siasat kes pecah mesin ATM ditubuh

24/10/2012 8:37pm

JOHOR BAHRU Polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes memecah dan melarikan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah pasar raya besar di Plentong semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, pasukan khas itu akan menyiasat sama ada kes tersebut dilakukan oleh kumpulan yang sama yang mencuri wang daripada mesin ATM di sebuah pusat beli-belah di sini bulan lepas.

"Kita akan menyiasat sama ada kedua-dua kes dilakukan oleh kumpulan yang sama. Akan tetapi pada masa ini, kita mendapati dalam kes pertama, penjenayah menggunakan mesin gerinda untuk memecahkan mesin ATM, manakala yang semalam menggunakan pemotong gas oxy-acetylene, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan kes yang berlaku di negeri lain.

Jumlah wang yang dilarikan bulan lalu adalah RM68,000, manakala dalam kejadian semalam bernilai RM76,000. BERNAMA