Perjuangan komuniti reggae tempatan



DI SEBUAH bilik di Ovo Live Bistro, Damansara Uptown, Petaling Jaya, Selangor, sekumpulan anak muda sedang leka dalam dunia mereka.

Ada yang kelihatan berbual sesama sendiri, ada yang diam seribu bahasa dan ada juga yang leka memainkan instrumen muzik.

Mereka ialah ahli kumpulan Sharpshooter yang sedang menunggu giliran membuat persembahan di kelab tersebut. Sejurus naik ke pentas, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2004 itu menerima tepukan dan sorakan daripada penonton.

Daripada sebuah lagu ke sebuah lagu, alunan melodi kedengaran santai dan mudah untuk dihayati segenap lapisan pendengar.

Sesekali lagu yang didendangkan berubah daripada perlahan kepada rancak. Seiring itu juga, penonton yang asyik menari mengubah lenggok tarian masing-masing mengikut rentak.

Muzik santai

Ritma reggae yang relaks ditambahkan tarikannya dengan kombinasi mainan instrumen seperti gitar, bass, perkusi, harmonika dan keyboard sekali gus meingkatkan dimensi iramanya.

“Reggae adalah muzik yang santai. Kami memperjuangkan irama pop reggae dengan lagu-lagu kami berunsurkan keamanan, cinta dan keharmonian,” kata penyanyinya, Azizul Othman, 28.

Lebih dikenali sebagai Peo, pekerja di syarikat penyiaran itu bersemangat bercerita tentang dunia reggae di negara ini.

Baginya, irama reggae memiliki kelompok penyokong tersendiri, namun bilangannya agak kecil dan kurang mendapat perhatian kelompok masyarakat umum.

“Begitupun, peminatnya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kami hanya bermain di kelab-kelab atau pub kerana kekurangan penganjuran muzik reggae di negara ini.


KUMPULAN Akar Kayu dari Johor Bahru berharap irama reggae terus berkembang di negara ini.


“Persembahan yang paling besar kami sertai adalah pada acara Rock The World di Stadium Merdeka pada 2008 yang dihadiri kira-kira 3,000 penonton,” katanya yang popular dengan lagu Panji-Panji Reggae.

Sejarah reggae

Reggae yang dikatakan tercetus daripada evolusi muzik ska mula bertapak di Jamaica pada tahun 1960-an. Tidak lama selepas itu, kemunculan Bob Marley telah menjenamakan muzik tersebut di serata dunia.

Imej penyanyi dan pemuzik reggae yang tampil dengan rambut dreadlock (bersimpul mati) menyebabkan mereka mudah dikenali.

Banyak kumpulan reggae moden seperti Big Mountain dan UB40 berjaya mengetengahkan konsep sedemikian kerana pasarannya lebih luas di seluruh dunia.

Di Malaysia, pada awal tahun 1980-an, seorang penyanyi bernama Poe telah mewarnai persada muzik tempatan dengan album Satu Dunia, Satu Harapan.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album reggae itu ialah Ala Lala Latok Jangan Saman berjaya memikat khalayak pendengar dan menjadi siulan peminat pada ketika itu malah lagu tersebut masih diminati hingga ke hari ini.

Selain Poe yang tampil bersama kumpulan Rampa, penyanyi Dr. Sam juga turut popular dengan lagu-lagu seperti Abu Nawas dan Hutan Batu.

Dalam tempoh 30 tahun ini, kelompok peminat reggae di Malaysia boleh dikatakan bergerak sendirian dan mereka selalunya membuat persembahan di kelab-kelab malam dengan kehadiran penonton berskala kecil.

Bagaimanapun, peminat muzik itu tidak terbatas faktor kaum, usia mahupun asal usul.

Hal itu terbukti apabila menyaksikan persembahan di Ovo Life Bistro, Petaling Jaya. Kumpulan yang membuat persembahan di situ turut berasal dari negara seperti Filipina dan Singapura. Bahkan, penontonnya turut melibatkan penonton pelbagai warganegara.

Meskipun komuniti reggae bergerak sendirian, perkembangan mereka diikuti oleh pengikut seluruh dunia. Bahasa bukanlah penghalang untuk menikmati irama yang diterima sejagat itu.


MESKIPUN bergerak dalam skala kecil, komuniti reggae tempatan saling menyokong antara satu sama lain.


“Kami membuat semua kerja - menulis lirik, merakam lagu, menyusun rentak muzik dan menghasilkan album demo,” kata Pengurus Kumpulan Akar Kayu, Halimatunsaadiah Samani, 26. Antara lagu yang mereka hasilkan ialah Keinginan Hati, Otak Mati dan Maha Esa.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2007 dengan sembilan anggota berusia 20 hingga 26 tahun itu banyak menerima undangan membuat persembahan di Johor dan negeri lain sekitarnya.

Rintangan

Membuat latihan sekerap tiga kali seminggu, kumpulan Akar Kayu turut berdepan rintangan dalam memperjuangkan irama yang mereka minati itu.

Kebanyakan ahli kumpulan tersebut mempunyai pekerjaan lain ekoran pendapatan daripada menyanyi tidak menentu.

Bahkan, mereka perlu mengeluarkan duit saku sendiri untuk berlatih bermain muzik atau menghasilkan album demo.

“Kami tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak dalam memperjuangkan irama reggae ini. Bayaran untuk membuat persembahan juga tidak tinggi,” katanya.

Penyanyi kumpulan itu, Muhammad Siddiq Burhan, 23, merupakan penyanyi sepenuh masa termasuk menjadi pemuzik jalanan.

Dia yang pada mulanya meminati muzik metal sebelum terpesona dengan irama reggae, kesal apabila ada sesetengah pihak di negara ini yang mengaitkan muzik tersebut dengan pengaruh dadah.

Penampilan imej rambut dreadlock juga, menurut Muhammad Siddiq, adakalanya mengundang rasa kurang senang.

“Kami sekadar memperjuangkan irama muzik, bukannya mencedok keseluruhan budaya dari Jamaica termasuk penyalahgunaan dadah,” tegasnya.

Perlu sokongan

Sementara itu, anggota kumpulan Rasta Syndicate pula yakin jika masyarakat didedahkan dengan muzik reggae secara berterusan, ia mampu berkembang dengan baik.

Rasta Syndicate yang bermaksud ‘gerombolan yang menyukai reggae’ ditubuhkan pada tahun 2008 oleh empat anak muda yang terbabit secara sepenuh masa.

“Memang nampak sedikit perkembangan pada hari ini. Komuniti reggae saling membantu dalam memperjuangkan muzik ini. Kita paparkan aktiviti di laman sosial seperti Facebook,” kata penyanyinya, Mahatzir Abd. Rahman, 41, atau lebih dikenali sebagai Chek Det.

Tambahnya, muzik reggae tidak jauh beza dengan aliran muzik lain iaitu memperjuangkan isu kehidupan. Muzik reggae telah diserapkan dengan nilai-nilai kehidupan, keamanan dan bersifat tempatan.


MENDIANG Bob Marley digilai peminat muzik reggae di serata dunia.


Sokongan berterusan seperti penganjuran acara atau persembahan yang kerap, bantuan kerajaan dan swasta, katanya, boleh membawa reggae ke tahap baharu di negara ini. Di Thailand, reggae berada pada tahap yang lebih terkehadapan dan acara yang dianjurkan menarik kehadiran penonton dari serata dunia.

“Saya yakin peminat muzik ini ramai, cuma tiada tempat benar-benar sesuai untuk kami berkarya. Kami banyak bergerak di pub-pub atau kelab-kelab. Sekiranya diberi peluang yang kerap di hadapan khalayak yang lebih ramai, pasti irama ini lebih diterima,” katanya yang memiliki album bertajuk Bagai Rollercoaster.