Sastera hidup Dain Said



DI DADA kota raya, Dain Said membina 'kerajaan filem'nya, Apparat Sdn. Bhd. berlokasikan sebuah bangunan era kolonial di pinggir Taman Tasik Titiwangsa.

Sebelum memasuki jalan ke situ, lazimnya sesiapa pun akan terpandang sebuah bangunan kesenian yang tersergam bernama Istana Budaya. Persekitarannya sibuk tetapi masih berudara nyaman.

Ini kali kedua kami tiba di muka pintu pejabat yang juga menjadi kediamannya. Pertama, ketika filem masterpiece Dain, Bunohan belum lagi ditayangkan, dan kali kedua ini, selepas filem yang mencetuskan kritik hebat itu berjaya lolos ke Anugerah Akademi Ke-85 untuk pencalonan awal.

Sejak dua minggu lalu, Bunohan dan Anugerah Akademi atau Oscars menjadi topik yang menggembirakan seluruh pencinta filem tanah air.

Masih terlalu awal untuk membuat prediksi. Trofi Oscars itu terlalu agung untuk memberikan sanjungan kepada filem dari Malaysia.

Bagaimanapun, kemasukan Bunohan ke dalam senarai filem dari 71 buah negara yang menghantar pencalonan dalam kategori Filem Asing Terbaik itu membentuk pusaran besar yang menjadi harapan anak Malaysia.

Sebelum Bunohan, sudah lapan tahun Malaysia tidak berani menghantar calon untuk mencuba nasib ke anugerah filem paling berprestij itu.

Tidak terhenti setakat Bunohan

"Saya ingat Bunohan sudah habis tetapi atas reputasi yang dibinanya, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) menghantar Bunohan untuk dicalonkan ke Oscars. Saya sangat berterima kasih terhadap Finas.

"Awal-awalnya lagi saya tahu, itu satu pertandingan yang sukar. Sudah menjadi amalan di Oscars yang setiap filem tercalon harus buat kempen besar-besaran di Amerika Syarikat (AS).

"Syaratnya juga, filem yang bertanding haruslah ditayangkan sekurang-kurangnya di sebuah pawagam di sana untuk ditonton oleh pengkritik filem di AS," beritahu Dain yang tidak dapat membayangkan bagaimana proses pemilihan Anugerah Akademi itu pada Februari 2013.

Sebelum ini, Bunohan pernah ditayangkan pada Festival Filem Los Angeles 2012 dan Festival Filem Antarabangsa Palm Springs. Bunohan juga ditayang sempena Festival Filem Antarabangsa Toronto tahun lepas.

"Tiga festival berasingan itu memberi kelegaan kepada kami, tapi saya tidak tahu bagaimana proses penjurian yang akan digunakan untuk sampai ke senarai teratas dalam kategori itu," katanya sebelum beralih topik perbualan kepada sebuah naskhah terbaharu yang sedang ditulisnya.

Dain berkongsi cerita tentang filem baharunya yang diberi judul kerja, Interchange. Jika skrip itu dikira layak, ia bakal diterbitkan bersama penerbit dari negara luar untuk satu projek penyertaan ke sebuah festival filem di Eropah.

"Itu yang Apparat usahakan sekarang. Skripnya masih dalam bentuk draf dan ia ditulis semasa saya buat suntingan Bunohan selama tiga minggu di sana.

"Saya letak tajuk Interchange sebab dari bilik hotel saya menginap, nampak dengan jelas stesen Metropolitan Rapid Transit di tengah bandar raya Bangkok.

"Ia sebuah filem kehidupan di bandar dan lebih komersial berbanding Bunohan," beritahu Dain ringkas.

Dain dan buku




Bertemu lelaki yang seusia dengan kemerdekaan Malaysia itu, dia berkongsi rasa. Lelaki yang genap 55 tahun semalam itu bersyukur dan berasa bertuah atas jalur hidup yang dilaluinya.

Buka ceritanya, dahulu dia pernah menyepikan diri di dalam bilik dan hanya bertemankan buku. Bahan bacaan ialah sebuah eskapisme buat dirinya.

Pemegang nama berdaftar Iskandar Shariffudin Mohd Said itu berdepan banyak gelombang merintis erti hidup.

"Buku ialah cinta pertama saya, kemudian barulah saya jatuh cinta terhadap filem," demikian getus lelaki berkaca mata tebal itu dalam gaya sang pencerita.

Suaranya lantang dan geraknya tidak tetap seperti budak lelaki yang hiperaktif tetapi dalam masa yang sama, setiap patah yang keluar daripada mulutnya bernas dan bermakna.

"Saya sangat gemar membaca dan suka ke perpustakaan. Pernah dalam tempoh lapan bulan saya duduk dalam bilik yang gelap dari pagi hingga malam dan hanya membaca. Waktu itu saya tidak gemar ke sekolah kerana dibuli.

"Selalu diserang depresi, saya masuk ke dalam beberapa karakter yang saya baca dan itulah 'dunia' saya," ujarnya yang jatuh cinta dengan tulisan Franz Kafka.

Depresi yang dihadapi di sekolah dan kolej membuatkan dia meloloskan diri daripada atmosfera itu. Dain mengaku diejek kerana namanya yang sukar disebut dan waktu itu sifat rasis bertebaran kuat di bumi United Kingdom.

Ponteng sekolah, tonton filem

"Saya suka ponteng sekolah sebab kena belajar bahasa Latin. Waktu ponteng baru saya sedar yang ada sebuah rumah seni yang juga sinema di hadapan rumah.

"Saya masuk curi-curi, menonton filem-filem Jean Luc-Godard," sedikit lagi sejarah seorang Dain terbit dalam perbualan.

Zaman depresi itu ditinggalkan sebagai kenangan, lalu Dain masuk bercerita tentang hidupnya yang banyak mengembara.

Dia menghirup banyak udara berlainan negara, mempelajari ragam manusia dan paling penting dapat mengenali dirinya sendiri.

"Satu hal yang saya pelajari, walau jauh mana kita mengembara, kita tidak boleh meninggalkan siapa diri kita yang sebenarnya.

"Mengembara membuka mata saya. Jelas saya dapat mengamati budaya dan bangsa luar. Tetapi paling utama, kenal diri sendiri," senyumnya yang tinggal selama 26 tahun di kota London.

Selang bercerita tentang kota luar, dia sempat menambah: "Saya ingat waktu hidup di tepi pantai di Kelantan. Pembantu rumah akan bawa saya ke tepi pantai untuk menyaksikan makyung dan wayang kulit. Senario itu melekat dalam kepala saya."

Nyata, pertembungan budaya yang berlaku ketika awal usia remajanya meninggalkan pengaruh dan corak yang kuat kepada karakter Dain.

Puji Yuna

Keluar sedikit daripada topik filem namun masih berlandaskan seni, Dain berkongsi cita rasa muziknya. Dia memulai dengan memuji muzik yang dibawakan oleh Yuna.

"Saya sebenarnya penggemar muzik, daripada muzik kerohanian, rock, jazz hinggalah klasikal. Kalau anak seni Malaysia, saya gemarkan Tenderfist, Carburator Dung, Pete Teoh dan Azmyl Yunor," ujarnya dengan nafas bangga.


DAIN SAID menganggap Pekin Ibrahim sebagai penemuan sempurna yang menjadi khazanah berharga kepada sektor bakat lakon tempatan. Rewan Ishak pula dilihat sebagai sutradara baharu yang berpotensi.


Dain diusik, hidupnya banyak dikelilingi warna pastel. Hal itu dilihat daripada filem Bunohan sendiri yang banyak berlatarkan warna kelabu dan semula jadi sehinggalah fesyen dirinya yang sinonim warna putih dan coklat.

Dia ketawa dan menjelaskan: "Bunohan itu latar masanya ketika monsun. Banyak bermain warna lembut, pamerkan gelombang dan awan yang merangkumi drama. Itu semua metafora dalam Bunohan.

"Dan jika tentang fesyen saya, saya memang banyak baju warna kelabu, hitam dan putih. Saya tidak suka warna-warna yang sibuk. Dulu saya gemar warna hitam sebab malas untuk berfikir."

Mengenal sedikit tentang Dain sebagai seorang sutradara, pengembara dan pencinta seni bercabang arena, dia juga sebenarnya seorang yang banyak bersyukur.

Warna kelam zaman ciliknya kini mengundang kepada bahagia pelangi dalam karier. Semuanya atas nama pengalaman dan pengajaran hidup.

Di hujung temu ramah yang ditemani kopi dan nostalgia itu dia memberi konklusi dengan wajah tenang. Lafaznya mudah: "Saya berada di tempat dan masa yang tepat. Saya boleh dikira bertuah.

"Apa yang saya pelajari tentang hidup ialah jangan berbuat jahat dengan orang lain dan semuanya akan okey dalam hidup ini."