Cerita hidup Zaiton


ZAITON: CERITAKU mengungkap kisah benar jalan hidup penyanyi Zaiton Sameon.


GEJALA gengsterism adalah realiti kehidupan masyarakat yang sering dipaparkan menerusi media cetak dan media elektronik. Rentetan daripada realiti sebenar kehidupan remaja masa kini, Budak Pailang membawakan kisah kehidupan seorang remaja bernama Badrul yang terlibat dengan dunia kongsi gelap setelah bercampur dengan kumpulan samseng di sekolah.

Kehidupannya tambah tertekan kerana sering dileteri dan dimarahi ibunya sehingga dia mengambil keputusan untuk menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap.

Apakah yang terjadi kepada Badrul dan rakan-rakannya? Adakah Badrul berjaya meninggalkan dunia kongsi gelap dan kembali menjalani kehidupan normal? Semuanya akan terjawab menerusi filem aksi hebat itu.

Sementara itu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan watak perisik James Bond yang kembali beraksi menumpaskan penjenayah dalam filem terbaharu bertajuk Skyfall.

Peminat penyanyi terkenal 80-an, Zaiton Sameon jangan lupa untuk menyaksikan filem bergenre drama Zaiton: Ceritaku. Ia bakal membawa anda kembali menyorot zaman kegemilangan Zaiton selain menangisi dugaan yang dihadapinya sebelum bangkit semula.

Budak Pailang

Genre: Aksi

Durasi: 90 minit

Pengarah: Hashim Rejab

Pelakon: Aeril Zafrel, Wawa Zainal dan Niezam Zaidi

Sinopsis: Filem ini mengisahkan kehidupan seorang remaja bernama Badrul yang merupakan seorang samseng, bersifat nakal dan suka membuli. Dia dan rakan-rakannya, Achoi, Awang dan Wani sering melakukan huru-hara serta mengusik orang yang lemah.

Rodi, seorang remaja yang lurus sering menjadi mangsa buli Badrul dan rakan-rakannya.

Akibat tidak tahan dibuli, Rodi mengambil keputusan mengupah sekumpulan gengster untuk memukul Badrul dan rakan-rakannya. Dalam pada itu, Badrul mengalami kecederaan yang teruk kerana cuba menyelamatkan seorang gadis yang bernama She daripada diganggu oleh sekumpulan samseng jalanan.

Badrul yang tidak tahan hidup dalam belenggu kemiskinan dan bosan dengan sikap ibunya yang sering berleter mengambil keputusan untuk menyertai kumpulan kongsi gelap.

Dia menjadi anak buah kepada Alex, seorang raja dadah yang berpengaruh besar.

Kehidupan Badrul mula berubah menjadi mewah sehinggalah dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam sebuah sekolah juvana.

Skyfall

Genre: Aksi

Durasi: 143 minit

Pengarah: Sam Mendes

Pelakon: Daniel Craig, Judi Dench, Ralph Fiennes dan Javier Bardem

Sinopsis: Apabila sebuah operasi di Istanbul berakhir dengan tragedi, James Bond dikhabarkan telah mati dan identiti ejen perisik terkenal M16 itu telah tertiris di internet.

Selepas kejadian itu, ramai yang mempersoalkan kewibawaan ketua agensi perisik rahsia, M, dalam mengendalikan misi rahsia.

Pihak kerajaan juga meragui keupayaannya dalam menghadapi situasi getir. Bond akhirnya muncul ketika M diserang dan mencari Roul Silva, penjahat berbahaya yang paling dikehendaki pihak berkuasa.

Zaiton: Ceritaku

Genre: Drama

Durasi: 87 minit

Pengarah: Isma Daniel

Pelakon: Nadia Aqilah, Shahronizam, Karl Shafek, Riezman Khuzaimi, Wan Maimunah, Norlia Ghani dan Arash Mohamad

Sinopsis: Zaiton terlibat dalam kemalangan ngeri yang telah mengorbankan nyawa anaknya Irwan.

Akibat daripada tragedi yang menyayat hati itu, perjalanan kariernya turut musnah. Kehidupan yang dilaluinya selepas kemalangan tersebut amat perit dan menyakitkan.

Dia yang tidak mempunyai tempat untuk bergantung hanya mengharapkan belas kasihan daripada ibunya.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ibunya pula meninggal dunia.

Dia kemudiannya hidup terkontang-kanting sehinggalah dipertemukan dengan Rahim.

Walaupun begitu, masih ada sebilangan manusia yang tamak haloba serta mengukur jiwa dengan kemewahan. Mereka memperalatkan Zaiton kerana yakin masih ada pesona bintang pada dirinya.