Sharifah Sakinah versi serius



TIDAK dinafikan wataknya sebagai Kinah menerusi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang telah memberi impak yang tersendiri buat pelakon Sharifah Nurul Sakinah Al-Khaired Syed Abu Bakar.

Berlakon di samping Elfira Loy dan Randy Pangalila dalam telefilem tersebut, karakter Sakinah yang membawakan watak anak orang kaya yang kebodohan ternyata berhasil mencuit hati penonton.

Biarpun namanya semakin dikenali ramai selepas itu, ternyata Sakinah tidak mampu lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi yang melanda dirinya.

Pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan, Sakinah pernah berselisih faham dengan pelakon Julia Ziegler dan Gambit Saifullah.

Kemudian pelakon berusia 23 tahun itu juga pernah dilabel sebagai seorang artis sombong gara-gara kerap menolak permintaan pihak media yang ingin mengadakan sesi fotografi dengannya.

Berkesempatan menemuinya semasa siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini, pelakon berkenaan menafikan dia seorang yang suka mencipta kontroversi.

"Seboleh-bolehnya saya mahu menjadi seorang individu yang lebih matang dan tidak mahu mengingati lagi semua kontroversi yang pernah melanda diri saya dahulu.

"Sekarang ini saya enggan menoleh ke belakang lagi dan ingin dikenali sebagai seorang pelakon yang berbakat, bukannya pelakon yang sarat dengan kontroversi," jelasnya.

Menurut Sakinah, memandangkan minat yang begitu mendalam dalam bidang seni, dia pernah berhadapan dengan dilema sama ada memilih untuk bergelar pelakon atau memberikan fokus kepada pelajarannya.

Sebelum ini dia pernah menuntut di Kolej Universiti HELP di Damansara, Selangor dalam bidang pengajian undang-undang, tetapi hanya belajar separuh jalan dan kemudian mengambil keputusan untuk berhenti.

"Pada mulanya saya memang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang peguam, namun akhirnya saya sedar bidang tersebut tidak sesuai dengan diri saya. Ternyata, jiwa saya lebih kepada bidang lakonan," ujarnya.

Berkenaan dengan gelaran artis sombong yang pernah dilabelkan pihak media sebelum ini terhadap dirinya, Sakinah memberitahu dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang masalah atau enggan memberikan kerjasama.


FIGURA ini berusaha sendiri untuk meraih peluang dalam bidang lakonan.


Ujarnya, dia bukan sengaja menolak tawaran untuk mengadakan sesi fotografi yang diaturkan media, tetapi dia sebenarnya seorang individu yang kurang gemar bersolek.

"Dulu saya tidak serius untuk bergelar pelakon. Saya terbabit dalam dunia lakonan pun sekadar suka-suka sahaja dan tidak terlampau mengejar populariti sangat serta tidak kisah kalau cerita mengenai diri saya kurang didedahkan dalam media.

"Bagaimanapun, lakonan sudah menjadi keutamaan saya sekarang dan sedar populariti itu memang penting jika hendak pergi lebih jauh. Kini, saya bersedia memberikan kerjasama terutamanya untuk mengadakan sesi fotografi dengan mana-mana media," ujarnya.

Rakan baik

Sejak namanya menjadi sebutan ramai selepas membintangi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, ternyata Sakinah dilihat banyak terbabit dengan drama dan telefilem arahan Michael Ang dan syarikat penerbitan Cube Film sehinggakan dia dilabel sebagai anak emas pengarah popular tersebut.

Mengakui pengarah itu merupakan antara individu yang memainkan peranan menaikkan namanya dalam bidang lakonan, namun dia menafikan dirinya merupakan pelakon kegemaran Michael.

"Saya tidak pernah melihat diri saya ini merupakan anak emas atau pelakon kegemaran Michael. Lagipun, banyak lagi pelakon-pelakon lain yang selalu berlakon di bawah arahannya seperti Elfira Loy, Didie Alias dan Marsha Milan Londoh.

"Mengenai hubungan dengan Michael saya bukan sekadar menganggapnya sebagai pengarah, malah dia merupakan rakan baik yang banyak membantu sehingga nama saya dikenali ramai seperti sekarang," jelasnya.

Sakinah turut memberitahu, dia langsung tidak pernah terikat untuk berlakon di bawah syarikat Cube Film sahaja dan turut diberi kebebasan berlakon dengan produksi atau pengarah lain.

"Mungkin ramai tidak sedar yang saya juga sudah banyak terbabit dengan produksi lain, misalnya seperti Zeel Production yang memang banyak memberikan tawaran lakonan kepada saya.

"Terbaharu, saya juga berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah tersohor iaitu Erma Fatima menerusi drama bersiri 13 episod berjudul Aku Bukan Untukmu," ujarnya sambil mengakui tidak terlalu selektif dalam memilih setiap tawaran berlakon yang diterimanya.

Berdikari

Pastinya ramai yang sudah tahu tentang status Sakinah yang merupakan adik kepada Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahirah, dua orang pelakon yang terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia lakonan.

Walaupun kedua-dua orang kakaknya itu sudah lama bergelar pelakon, Sakinah menyatakan dia tidak mengambil kesempatan menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tawaran berlakon.


SAKINAH menolak tanggapan bahawa dia merupakan anak emas pengarah, Michael Ang.


"Memang tidak dinafikan, mereka merupakan sumber inspirasi yang membuatkan saya menjadi minat dan jatuh cinta kepada lakonan, malah mereka juga banyak memberikan galakan kepada saya untuk serius dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya akan mengambil kesempatan dengan menjaja status saya sebagai adik kepada Norhaslinda dan Shahirah, sebaliknya saya lebih gemar berdikari dan mencari sendiri peluang lakonan tanpa mengharapkan bantuan mereka," tegasnya.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia berlakon bersama-sama kakaknya, terutama Shahirah yang masih lagi aktif berlakon, Sakinah menyatakan dia menerima seadanya tentang hal tersebut.

Ini memandangkan memang ramai peminat yang ingin melihat gandingan mereka berdua sama ada dalam drama atau telefilem.