Lebih 20,000 kad komuter 1Malaysia dikeluarkan

31/10/2012 6:18pm

KUALA LUMPUR Lebih 20,000 Kad Komuter 1Malaysia telah dikeluarkan sejak pendaftaran dibuka pada 22 Oktober lepas.

Naib Presiden Eksekutif Perniagaan KTMB, Sarbini Tijan berkata, pihaknya menyediakan kaunter permohonan di 11 stesen sekitar Lembah Klang termasuk di Seremban, Kepong, dan Sungai Buloh.

Kaunter dibuka setiap hari kecuali cuti umum sehingga 21 November ini bagi memudahkan proses permohonan kad tersebut, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kad Komuter 1Malaysia diperkenalkan oleh bahagian komuter KTMB berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013.

Menerusi kad itu, warganegara Malaysia khususnya pengguna komuter KTMB yang berpendapatan RM3,000 ke bawah berpeluang mendapatkan diskaun 50 peratus. BERNAMA