Meneroka pantai emas Australia


PERCUTIAN ke Gold Coast memberi kenangan manis kepada penulis dan keluarga.


SEJAK dahulu lagi, Australia popular sebagai destinasi pelancongan utama di dunia. Selain kota metropolitan Sydney yang terkenal dengan keindahan Opera House, negara itu juga menawarkan beberapa lokasi percutian yang tidak kurang menarik.

Antaranya Gold Coast, bandar pesisir pantai yang terletak di wilayah Queensland, berhampiran sempadan Brisbane dan New South Wales.

Menerima jolokan pantai emas, Gold Coast mempunyai keunikan tersendiri daripada bangunan pencakar langit dan taman tema menghiburkan kepada keindahan pantai yang menakjubkan. Tidak ketinggalan ia juga antara ‘syurga’ membeli-belah.

Kesempatan bercuti panjang sekitar Oktober tahun lalu membawa saya meneroka keindahan Gold Coast dengan lebih dekat. Saya tidak keseorangan, sebaliknya turut ditemani ayah, ibu dan sepupu, Mimi Salwani Samsudin, 27.

Kami berlepas dari Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast, Coolangatta yang mengambil masa lapan jam.

Keletihan perjalanan jauh itu bagaikan terubat apabila ketibaan kami seawal pukul 7.50 pagi disapa suasana tenang fajar pagi di negara kanggaru itu.

“Akhirnya sampai juga kita ke Gold Coast,” bisik saya kepada Mimi.

Perkara pertama yang saya lakukan ialah menguruskan kereta sewa. Untuk pengetahuan pembaca semua, negara ini menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan sama seperti di Malaysia.

Biarpun pertama kali memandu di negara asing, saya tidak merasa kekok. Lebih-lebih lagi melihat sikap para pemandu di sana yang sentiasa bertimbang rasa.

Berbekalkan sekeping peta dan papan tanda jalan, kami akhirnya tiba ke lokasi penginapan yang terletak di Surfers Paradise, kira-kira 45 minit pemanduan dari lapangan terbang.

Menyusuri Surfers Paradise

Kami menginap di Kupari Apartmen, sebuah apartmen bajet yang terletak berhampiran pantai. Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang tamu, meja makan, dapur, mesin basuh dan televisyen.

Keesokan harinya, kami memulakan perjalanan ke Titanium Riverfront Restaurant di Ferny Ave. Ia menawarkan perkhidmatan Bluewater Cruise, pelayaran selama dua jam menaiki bot menyusuri sekitar Surfers Paradise.

Sepanjang pelayaran kami dijamu panorama lautan yang membiru di samping kapal-kapal mewah dan kediaman golongan berada di negara itu.

Seterusnya, kami ke Harbour Town yang terkenal sebagai lokasi membeli-belah utama di bandar itu.

Ketika asyik ‘mencuci mata’, kami terserempak dengan seorang rakyat Malaysia, Faizah Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Kak Zah.

Biarpun kali pertama berjumpa, Kak Zah yang berusia sekitar 40-an sangat mesra dan peramah. Katanya, dia dan keluarganya sudah tujuh tahun menetap di Australia kerana suaminya bekerja di sebuah syarikat petroleum di Perth.

Tanpa diduga, Kak Zah membawa kami sekeluarga melawat seorang rakannya, Kak Sha seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Labrador, tidak jauh dari situ. Bermula dari sekadar minum petang, perbualan kami berterusan sehingga ke waktu malam.

“Hilang kerinduan terhadap makanan di Malaysia,” kata saya tatkala menikmati nasi lemak panas bersama sambal udang yang dihidangkan. Selepas kekenyangan barulah kami pulang dan melelapkan mata.

Ke Movie World


BANGUNAN pencakar langit menghiasi landskap Gold Coast.


Pada hari ketiga, saya dan Mimi merancang ke Paradise Country dan Movie World, iaitu sebuah taman haiwan dan taman tema terkemuka di bandar itu.

Ibu dan ayah tidak ikut serta kerana mahu bersiar-siar di sekitar Harbour Town sahaja.

Perjalanan ke Paradise Country mengambil masa kira-kira satu jam. Di situ kami berpeluang melihat dan bergambar dengan beberapa jenis haiwan terkenal di Australia seperti beruang koala, kanggaru dan emu.

Selepas hampir tiga jam di situ, kami meneruskan perjalanan ke Movie World yang terletak berhampiran. Ibarat berada di alam fantasi, pengunjung akan dibawa melihat watak-watak animasi popular keluaran Warner Bros seperti Donald Duck, Tom and Jerry dan Roger Rabbit.

Pada masa yang sama, ia juga sarat dengan permainan yang menghiburkan untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Disebabkan kesuntukan masa serta jumlah pengunjung yang ramai, kami hanya sempat mencuba permainan Scooby Doo Spooky Coaster di samping menyaksikan persembahan yang penuh mendebarkan di Stunt Driver.

Keesokannya, kami meninggalkan Gold Coast untuk ke rumah Kak Zah di Brisbane, yang memakan masa kira-kira satu jam perjalanan.

Sebaik tiba di rumah Kak Zah, kami dijamu dengan pelbagai hidangan tempatan yang lazat dan menyelerakan.

Beberapa kenalan dan jiran tetangganya dari Malaysia dan Singapura juga turut serta dalam pertemuan itu.

“Kak Zah memang selalu buat makan-makan macam ini. Sekurang-kurangnya terubat juga kerinduan terhadap keluarga di Malaysia,” katanya yang berasal dari Johor Bahru. Sekali lagi kami pulang ke apartmen dalam keadaan kekenyangan.

Keesokan harinya, kami mengambil kesempatan untuk membeli-belah di sekitar Harbour Town. Sudah namanya orang perempuan, ada sahaja yang hendak dibeli sehingga tidak sedar hari sudah lewat petang.

Sebelum pulang, kami sempat membasahkan kaki di kawasan pantai sambil menikmati panorama matahari terbenam.

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga percutian kami selama enam hari di Gold Coast. Apa yang pasti, segala kenangan yang dilalui tetap tersemadi dalam ingatan.