Kejayaan konsep tapak karnival



MENJELANG sambutan perayaan Deepavali, lokasi-lokasi Little India seperti Brickfields dan Klang pasti akan melalui transformasi sebagai hab untuk membeli-belah. Melewati kawasan sekitar Brickfileds pada ketika ini misalnya, pasti ada yang mengeluh lantaran keadaan lalu lintas yang sesak.

Namun, kali ini fenomena itu berubah sedikit kerana keadaan trafik sedemikian bukan lagi menjadi isu besar di Brickfields. Begitu juga dengan keadaan di sebuah lagi tapak bazar Deepavali yang mengambil lokasi berdekatan pintu masuk utama tempat letak kereta A, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Walaupun ibu negara dilanda hujan lebat hampir setiap hari, ia langsung tidak memberi kesan pada karnival beli-belah kali ke-11 anjuran syarikat pengurusan acara, Agenda Suria Communications (ASC), itu dari segi sambutan pengunjung.

Lokasi yang dijangka boleh menyambut kunjungan jutaan orang sepanjang karnival yang bermula pada 31 Oktober hingga 12 November itu dilihat sentiasa didatangi orang ramai yang mahu mencari kelengkapan perayaan.

“Saya tertunggu-tunggu akan penganjuran karnival ini kerana selain ia membekalkan pilihan yang jauh lebih banyak dan murah, saya menjangkakan terdapat banyak gaya rekaan Bollywood,” kata M.Denizha, 14, dari Bandar Kinrara, Puchong yang amat meminati fesyen tersebut.

Denizha yang ditemani ibu dan kakaknya memberitahu bahawa dia sudahpun membeli beberapa helai kurthi, sepasang salwar kameez dan aksesori seperti set chokar, anting-anting serta gelang.

Ibarat syurga beli-belah, karnival seperti itu dilihat semakin diterima dan menjadi trend hinggakan ada dalam kalangan pembeli yang menunggu sehingga waktu akhir untuk membeli-belah.

Persaingan sihat

Walaupun ada rungutan daripada sesetengah pihak pekedai luar tempatan yang bimbang perniagaan mereka terjejas dengan trend karnival Deepavali seperti itu, Pengarah ASC, Jaggarao Simancha pula mempunyai tanggapan berbeza.

Menurutnya, ia satu persaingan positif yang semata-mata untuk memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan.


NEEM KHAN menunjukkan salwar kameez fesyen terbaharu di karnival itu.


“Saya tidak rasa ia mengganggu aliran perniagaan peniaga tempatan kerana karnival ini bukan sahaja membuka peluang kepada orang ramai membeli-belah pada harga murah dan pilihan yang pelbagai, malah turut berjaya mengukuhkan jalinan perniagaan antara peniaga tempatan dan luar.

“Karnival yang diadakan buat kali ke-11 ini berjaya menghubungkan peniaga tempatan yang tercari-cari ejen di India untuk mengimport barangan tertentu. Di sini, mereka dapat bertemu di atas satu platform dan dapat memperoleh produk yang diinginkan sekali gus mengembangkan perniagaan,” katanya.

Jaggarao menambah, karnival tersebut jika dipandang dari sudut positif, telah menghubungkan 300 peniaga tempatan dengan usahawan asing khususnya bagi industri tekstil yang amat memberangsangkan di India.

Selain itu, peniaga kecil dan sederhana tempatan juga boleh mendapat produk pada harga jauh lebih murah terus daripada ejen di India tanpa melalui orang tengah. Ini sekali gus mengurangkan harga produk dan ia memberi kesan kepada pelanggan tempatan yang memperoleh sesuatu produk pada harga lebih murah.

“Daripada 320 gerai jualan di sini, hampir 60 peratus terdiri daripada peniaga tempatan. Selebihnya, 40 peratus terdiri daripada peniaga dari utara India dan Pakistan.

Produk dapat sambutan

Pastinya bukan mudah untuk menganjurkan karnival besar yang terus berkembang dari setahun ke tahun seterusnya. Pihak ASC telah membuktikannya dengan penyertaan gerai yang lebih banyak, penganjuran aktiviti hiburan yang gah, pertandingan dan acara pentas yang terus mendapat sambutan awam.


RAMAI pembeli ligat tawar-menawar demi mendapatkan harga terbaik.


“Jesal Sweet telah bersama-sama memeriahkan Karnival Beli-belah Deepavali oleh ASC sejak kali pertama ia dianjurkan. Itu bermakna kami telah berkembang seiring usia karnival ini. Saya harus akui betapa karnival ini sangat berjaya kerana sepanjang 11 tahun, kami telah membina jenama Jesal Sweet.

“Lebih daripada itu, kami telah berkembang maju dengan membuka restoran dan perkhidmatan katering sendiri. Itu semua menjadi nyata selepas menyertai karnival ini,” kata pemilik Jesal Sweet, Teranjit Kaur.

Selain menyediakan manisan tradisional India seperti laddhu, jelebi, paal gova, kaju kthali, doda barfi dan lebih 20 pilihan manisan, Jesal Sweet juga menawarkan manisan tanpa gula dan kurang gula.

Produk jenama itu hanya menggunakan produk tenusu seperti susu dan minyak sapi yang segar, pewarna yang diimport khas tanpa pengawet serta bungkusan yang bersih.

“Itu adalah keunikan kami. Kami mahu semua orang menikmati manisan ini, walaupun tanpa gula,” kata Teranjit yang percaya bahawa kualiti sebagai pengukur utama.

Mengenakan harga RM10 bagi 100 gram untuk semua manisan, Jesal Sweet, antara yang terus menyokong karnival tersebut.

Pulangan terbaik

Bagi peniaga dari India, seperti Neem Khan dan Umar Khalid dari Kashmir dan Hydrabad, mereka teruja untuk menyertai karnival ini kerana ia memberi pulangan yang sangat baik.

“Pelanggan di sini suka produk dari utara India dan cita rasa mereka menyerupai fesyen yang kami bawa. Ia memudahkan kami berniaga di sini,” kata Neem Khan yang menjual sut Punjabi.

Dalam pada itu, pelanggan kali pertama ke karnival itu, M. Ithaya Jeevan, 26, dari Ipoh merasakan ia sebagai syurga kepada pelanggan wanita.

“Saya menemani teman wanita saya dan bercadang untuk membelanjakan sekitar RM500 di sini. Terlalu banyak pilihan pakaian, aksesori dan dekorasi di sini. Harganya pun boleh tahan,” katanya.


PELBAGAI manisan dan biskut turut dijual di karnival ini.


Bagi Pravinisha Nambiar, 17, dari Cheras pula, walaupun lokasinya jauh, dia mendapati bahawa persekitarannya lebih selesa terutama sekali soal mencari parkir kereta.

“Saya baru sahaja masuk dan belum membeli-apa-apa. Mungkin mereka harus adakan di Bukit Jalil kerana ia lebih lapang dan selesa,” katanya.

Jaggarao memastikan para pengunjung benar-benar selesa semasa membeli-belah, tidak kira siang atau malam, panas atau hujan.

Menurutnya, ASC menyediakan khemah bersambung sepanjang semua gerai sehingga tempat persembahan bagi membolehkan pengunjung tidak terkesan akibat hujan.

Sementara itu, bagi gerai tertutup pula, ia disediakan dengan pencahayaan yang lengkap dan penuh berhawa dingin.

“Apabila anda masuk, anda mungkin tidak dapat sedar siang atau malam, panas atau hujan. Gerai-gerai makanan dan minuman juga disediakan supaya pelanggan dapat berehat dan menikmati secawan teh dalam selang waktu membeli-belah,” katanya.

Selain Karnival Beli-belah Deepavali, ASC juga dengan jayanya pernah mengadakan pelbagai karnival beli-belah yang hampir sama pada skala kecil di Johor Bharu, Pulau Pinang dan terbaharu di Sungai Petani, Kedah.