Tilam lebih anjal


NEUAIRE dihasilkan dengan mengambil kira elemen keseimbangan, harmoni dan pilihan fabrik berteknologi.


SETELAH sepanjang hari penat bekerja dengan jadual harian yang ketat, ditambah pula dengan pelbagai aktiviti yang membabitkan fizikal dan tekanan, sebaik-baiknya diubati dengan waktu tidur yang selesa. Namun, apakah waktu tidur kita benar-benar berkualiti?

Acapkali kita mendengar keluhan mengenai tidur yang kurang nyenyak berikutan penggunaan bantal dan tilam yang salah atau tidak sesuai dengan keperluan. Berikutan itu, pelbagai penyelidikan dan pembangunan diaplikasi untuk menghasilkan tilam mesra pengguna.

Baru-baru ini dalam sebuah majlis pelancaran tilam baharu, Dunlopillo, Pengarah Pembangunan Perniagaan Dunlopillo Holdings Sdn. Bhd., Ignacio Pastor Rios menerangkan betapa tilam memainkan peranan penting untuk merehatkan badan.

Selain faktor reka bentuk, kandungan tilam itu sendiri mempunyai fungsi tersendiri, apatah lagi jika ia dicipta dengan spesifikasi canggih.

Seiring memperkenalkan koleksi tilam mewah baharu iaitu Europa dan Prosperity yang dihasilkan dengan teknologi termaju menggunakan bahan bermutu tinggi, Pastor mengakui, pihaknya terpaksa melalui proses penyelidikan dan pembangunan teliti sebelum tampil dengan sembilan jenis tilam tersebut.

Koleksi Prosperity terdiri daripada tiga model iaitu Jade Luxe, Pearl Plush dan Emerald Premium yang menampilkan gandingan lateks Dunlopillo Talasilver yang menghapuskan pembiakan bakteria.

Ia juga mempunyai sistem spring berpoket bagi keselesaan optimum dan kawalan suhu yang hebat.

Koleksi Europa pula dibuat di Eropah, terdiri daripada dua siri iaitu Aire (tilam PurAire, MaxAire dan NeuAire) dan Romance (tilam Amour, Adora dan Alegra).

Siri Aire dihasilkan dengan menggunakan sistem pengudaraan teknologi terkini, manakala siri Romance dibuat menggunakan lateks Talalay.

Dihasilkan melalui proses pembuatan khusus, lateks Talalay lebih anjal, mampu menyerap dengan lebih baik, mudah lentur dan lebih ringan berbanding lateks normal.

“Sejak awal, Dunlopillo sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti tilam-tilam kami dan dengan adanya lateks Talalay, kami dapat menawarkan tilam lateks yang terbaik di dunia,” demikian kata Pengarah Urusan Dunlopillo Holdings Sdn. Bhd., Thinaharan Muthusamy pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran di Petaling Jaya, Selangor.

Disasarkan untuk pasaran pertengahan dan atasan, koleksi Prosperity (bermula dari RM9,960) dan Europa (bermula dari RM13,360) boleh didapati di seluruh negara bermula November 2012. – NIZHA PERIASWAMY