Sharbinee tekad julang reputasi Selangor


PEMAIN Selangor gigih memulakan latihan mereka di Padang SUK Shah Alam semalam.


BIARPUN masih terlalu awal untuk membicarakan tentang saingan Liga Malaysia (Liga M) tetapi dua pemain baharu Selangor, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan Mohamad Afiq Azmi sudah tidak sabar untuk beraksi dengan Selangor.

Sharbinee merupakan bekas anak didik jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim ketika membimbing Terengganu pada musim lalu dan dia sudah tidak sangsi dengan kebolehan Irfan dalam usaha untuk mengembalikan prestasinya pada musim depan.

Bekas penjaga gol Terengganu itu yakin dia mampu menyesuaikan diri dengan pasukan juara 32 kali Piala Malaysia itu selain berazam untuk membantu Selangor meraih trofi pada musim depan.

Pemain berusia 26 tahun itu menambah, dia sudah bersedia untuk mempamerkan aksi cemerlang sebagai usaha untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Ia merupakan pengalaman baharu bagi saya memandangkan ini pertama kali saya beraksi di luar Terengganu.

"Sejujurnya, saya mahu melupakan kekecewaan lalu.

"Saya harap dapat meraih kejayaan lebih bermakna bersama Selangor pada musim depan dan kembali mengemudi gawang skuad negara," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad Selangor di Padang SUK Shah Alam, semalam.

Sementara itu, rakan sepasukan Sharbinee, Afiq yang turut berkongsi pendapat dengan bekas penjaga gol kebangsaan itu, berazam untuk mengulangi pencapaian cemerlang pada musim depan.

Bekas pemain pinjaman Kelantan itu mengakui, dia mensasarkan misi peribadi untuk meledak sekurang-kurang 10 gol bersama Selangor musim depan.

Ditanya mengenai pemilihan Selangor berbanding Kelantan, penyerang tinggi lampai itu mengakui dia masih belum bersedia untuk meninggalkan Lembah Klang.

"Saya masih mahu beraksi bersama pasukan di Lembah Klang. Saya percaya dengan keputusan menyertai Selangor ini adalah satu keputusan tepat bagi mengembangkan karier saya."