Agensi amah Indonesia jangan sorok maklumat

KUALA LUMPUR – Agensi pembantu rumah warga asing khususnya dari Indonesia diminta jangan berselindung dalam urusan bayaran pengambilan tenaga kerja itu serta menyembunyikan peraturan-peraturan baharu yang dikuatkuasakan bagi mengelak majikan menanggung kesulitan.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein (gambar) menegaskan, adalah menjadi kewajipan setiap agensi untuk menjelaskan secara terperinci semua peraturan serta bayaran yang dikenakan kepada bakal majikan yang mahu mengambil pembantu rumah.

“Pihak agensi kena terangkan jumlah bayaran yang telah ditetapkan dan bayaran itu pula untuk tujuan apa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas dilema yang dihadapi sesetengah majikan yang mendakwa tidak dimaklumkan mengenai peraturan pihak berkuasa Indonesia kepada rakyat mereka yang bekerja di negara ini.

Antara peraturan itu ialah syarat wajib mohon kad Tenaga Kerja Luar Negeri, surat izin cuti daripada majikan kepada amah yang pulang sementara ke negara asal serta surat kebenaran bekerja di Malaysia seperti yang terkandung dalam kontrak masing-masing.

Ada majikan mendakwa pihak tertentu di Indonesia menuntut bayaran 1 juta rupiah (RM318) sebagai caj untuk menulis surat izin pulang bercuti.

Engku Ahmad memberitahu, arahan mewajibkan pembantu rumah membuat kad Tenaga Kerja Luar Negeri jika ingin bekerja di luar negara itu telah berkuat kuasa Mei tahun lalu.

“Ia termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006 yang ditandatangani pada 30 Mei 2011,” ujarnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.