Informasi pemanduan dengan HUD


Dengan HUD pemandu tidak perlu mengalihkan mata daripada hadapan jalan untuk membaca meter.


MENDAPATKAN informasi pemanduan ketika anda sedang memandu kereta kini menjadi lebih mudah. Terima kasih kepada kemajuan teknologi paparan muka hadapan atau HUD (head-up displays).

Teknologi yang pada asalnya dibangunkan untuk juruterbang pesawat pejuang itu sudah mula diguna pakai dalam industri automobil.

Teknologi HUD hari ini semakin baik berbanding sewaktu ia mula diperkenalkan dalam industri automobil lebih sedekad lalu.

Ciri-ciri yang terdapat dalam HUD telah diperbaiki dengan imej berwarna yang menggambarkan kelajuan kenderaan, kedudukan lorong, penukaran arah, kawalan fungsi radio dan pelbagai maklumat lain.

Kesemua data itu timbul di hadapan pemandu pada jarak yang hampir menyamai bumper hadapan kereta. Paparan maklumat penting membolehkan pemandu memberikan tumpuan yang lebih kepada pemanduan tanpa perlu menjeling kepada panel meter yang menempatkan tahap kelajuan, putaran enjin dan suhu enjin.

Gangguan terhadap penumpuan pemanduan seringkali menjadi punca kemalangan, maka implementasi teknologi HUD dapat mengurangkan risiko kemalangan akibat pandangan mata pemandu yang beralih dari memandang jalan di hadapan.

Aplikasi HUD pada hari ini masih terhad. Salah satu sebab, ia hanya terdapat pada kenderaan mewah kerana kosnya yang tinggi.


DALAM penerbangan jet pejuang, ketepatan masa dan fokus amat penting.


Berkembang pada tahun 2015

Ia sama seperti teknologi kamera FLIR atau Forward Looking Infra Red yang pada hari ini boleh didapati pada sesetengah model kereta mewah sahaja.

Namun begitu, teknologi seumpama itu bakal menjadi salah satu elemen keselamatan penting pada sesebuah kenderaan pada masa hadapan.

Maka tidak mustahil ia akan ditawarkan pada kenderaan kelas pertengahan dalam masa beberapa tahun sahaja lagi.

Penganalisis automobil pula menjangkakan teknologi HUD bakal dilengkapkan pada segmen kenderaan kelas pertengahan sekitar tahun 2015.

Jika diimbau kembali, satu ketika dahulu teknologi seperti beg udara juga hanya terdapat pada kenderaan mewah, namun hari ini ia telah mula dipasangkan pada kenderaan biasa.

Ketika ini, teknologi HUD telah diperkenalkan pada model kereta mewah keluaran BMW, General Motors dan beberapa pengeluar automobil lain.

Antara cabaran dalam membangunkan paparan tersebut adalah pengunaannya di persekitaran yang agak sukar dengan variasi gegaran, elemen, suhu dan keadaan cahaya yang berbeza.

Tidak seperti paparan monitor televisyen, cermin hadapan kenderaan yang lutsinar dengan latar belakang boleh bertukar mengikut faktor cahaya kemungkinan boleh menjejaskan imej yang dipaparkan.