Satu jam bersih satu tiang



ANITA HASAN sudah beberapa kali berpusing-pusing di tempat yang sama dengan keretanya di sekitar Jalan Enggang, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Sambil matanya meliar mencari Jalan Enggang Utara, dia pelik kerana lorong atau jalan tersebut gagal ditemuinya walaupun sudah 15 minit berlegar di kawasan sekitar.

Papan tanda yang ada di situ hanyalah menunjukkan Jalan Enggang 6 dan Lorong Enggang. Hampir putus asa mencari, Anita akhirnya mengambil keputusan untuk memberhentikan kereta dan bertanyakan kepada seorang penjual buah di tepi jalan.

Selepas diberi petunjuk jalan barulah Anita tahu dia sebenarnya sudah beberapa kali melalui jalan tersebut. Namun, akibat iklan-iklan haram yang ditampal di pelbagai lokasi termasuk papan tanda, perkataan utara yang sepatutnya tertera hilang daripada papan tanda jalan.

Apa yang dialami Anita mungkin juga pernah berlaku dalam kalangan kita. Bahkan, iklan haram yang bermaharajalela di kebanyakan bandar besar terutamanya di ibu negara bukan sahaja menyusahkan orang ramai, malah menyakitkan pandangan mata.

“Sangat menyakitkan hati apabila tidak dapat melihat nama jalan tersebut, malah lebih buruk perbuatan keji itu turut mencemarkan kebersihan kawasan sekitar,” keluhnya.

Kongsi Anita, beberapa lokasi yang menjadi kegemaran penampal iklan haram termasuklah papan tanda jalan, dinding bangunan, pondok telefon, perhentian bas dan stesen transit aliran ringan.

Vandalisme baharu

Tambah wanita berusia 49 tahun itu, kawasan rumahnya di PPR Sri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur juga tidak terkecuali daripada vandalisme cara baharu itu terutamanya di kawasan dan di dalam lif.

“Pernah saya menegur individu yang menampal iklan-iklan seumpamanya, tetapi dia tidak memberi sebarang reaksi sebaliknya meneruskan kerja tanpa rasa bersalah,” ujarnya.

Tambah Anita, pekerja tersebut memberitahu, mereka hanya menjalankan kerja yang dibayar dengan sedikit imbuhan kecil.

“Selain menampal, mereka turut meletakkan salinan iklan ke dalam peti surat. Perkara ini menyebabkan kertas-kertas tersebut jatuh bersepah walaupun telah dibersihkan setiap hari,” jelasnya.

Tindakan individu tidak bertanggungjawab tersebut selayaknya dikenakan tindakan atau didenda oleh pihak berkuasa. Pendapat itu diutarakan oleh Halimah Hasan, 40, yang berpendapat proses pembersihan iklan-iklan haram itu menuntut masa yang lama malah tenaga yang digunakan hanya sia-sia kerana ia masih dilakukan selang sehari kemudian.

“Usaha yang dilakukan pihak berkuasa nyata sia-sia kerana penampal iklan masih melakukan aktiviti mereka,” ujarnya.

Kedua-dua wanita itu ditemui ketika menyertai program

Rockcorps anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) The Zhariff Initiative Sdn. Bhd. (TZI) bagi membanteras perbuatan menampal iklan haram di ibu negara.

Dalam program itu, peserta program dapat merasai sendiri betapa sukarnya proses menanggalkan iklan haram yang ditampal pada tiang-tiang elektrik dan papan tanda jalan raya.

Peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia membersihkan kawasan yang dicemari dengan iklan haram di sekitar lingkungan Wangsa Link, Wangsa Maju.


IKLAN-IKLAN haram yang ditampal di merata-rata tempat bukan sahaja menyakitkan mata bahkan kadangkala memberi kesukaran kepada orang ramai untuk mencari arah.


Sedarkan masyarakat

“Sebatang tiang elektrik sahaja mengambil masa hampir sejam untuk dibersihkan. Itupun tidak bersih sepenuhnya kerana mereka menggunakan gam yang sukar ditanggalkan,” ujar Anita.

Akibat kikisan tersebut, ia menyebabkan cat pada tiang dan papan tanda turut tertanggal sekali gus menyebabkan tiang itu kelihatan buruk.

Rasa geram melihat iklan haram dan kesukaran menanggalkan jutaan iklan haram ditampal sesuka hati memberi gambaran jelas objektif sebenar program Rockcorps. Ia tidak lain dan tidak bukan ingin menyedarkan masyarakat untuk menghargai harta benda awam.

Penaung TZI, Muhammad Zhariff Afandi memberitahu, dalam program tersebut seramai 200 sukarelawan mengerah tenaga turun padang untuk mengikuti program julung-julung kali TZI iaitu menanggalkan iklan-iklan haram yang mencacatkan keindahan ibu kota.

“Melalui aktiviti ini, mereka dapat merasai bagaimana sukarnya tugas pekerja DBKL mengharungi proses pembersihan yang dilakukan hampir setiap minggu,” ujar Muhammad Zhariff yang turut serta dalam program tersebut.

Kata beliau, ia merupakan kesedaran yang disuntik dalam diri masyarakat secara perlahan-lahan.

Kos tinggi

“Apabila masyarakat turut dilibatkan menjadi individu yang membanteras iklan haram, barulah tahap sensitiviti dan kesedaran mereka dapat ditingkatkan. Jika sebelum ini mereka hanya melihat sepintas lalu individu yang sedang menampal iklan haram, selepas ini mungkin mereka akan menegur atau menelefon pihak berwajib untuk menangkap pelaku yang tidak bertanggungjawab ini,” luah Muhammad Zhariff.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Setiawangsa DBKL, Abdul Satar Abdul Halim menjelaskan, operasi pembersihan iklan-iklan haram itu merangkumi premis perniagaan, tiang elektrik dan papan-papan tanda jalan raya.


PERBUATAN menampal iklan haram di papan tanda jalan merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan remaja ini berusaha membersihkan tampalan orang yang suka mengambil kesempatan itu.


“Dalam operasi tersebut, pihak DBKL turut menurunkan iklan seperti pemidang yang telah tamat tarikh dan iklan yang tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL,” ujarnya ketika ditemui dalam program itu.

Menurut Abdul Satar, setiap operasi memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana pihaknya menggunakan bahan peluntur khas untuk menanggalkan iklan yang terlekat pada bangunan.

Walaupun tiada sebarang tangkapan yang diambil setakat ini tambahnya, DBKL tetap mengambil serius masalah itu, malah pernah mengenakan denda kepada mereka yang didapati bersalah.

“Kami amat mengharapkan bantuan penduduk setempat dalam memberi maklumat kepada DBKL jika terlihat individu tidak bertanggungjawab mencemari harta benda awam,” jelasnya.

Setakat ini sebanyak 20 aduan telah diterima daripada orang awam yang melaporkan masalah iklan haram.

Antara bulan Januari 2012 hingga Julai 2012, DBKL telah mengeluarkan tindakan menurun dan menanggalkan iklan haram sebanyak 637,719.

Pesalah boleh dikenakan hukuman di bawah Undang-Undang Kecil (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 iaitu denda RM2,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, nombor-nombor yang dipamerkan dalam iklan-iklan katanya, akan dibatalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah arahan DBKL.

Orang ramai boleh membuat laporan kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian bebas tol 1-800-88-3255.

Dalam pada itu, Abdul Satar memberitahu, DBKL turut menjalankan kerjasama bersama NGO yang melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti yang dilakukan oleh TZI.

“DBKL sentiasa memberi galakan kepada NGO yang ingin bersama membantu menjaga kebersihan dan keharmonian alam sekitar. Antaranya termasuklah program Rockcorps anjuran TZI, kami menyokong usaha murni mereka dalam mendedahkan kepada golongan muda kepada aktiviti kemasyarakatan,” jelasnya.

DBKL memperuntukkan perbelanjaan dari segi peralatan, logistik dan lain-lain sebagai salah satu tanda penghargaan atas semangat dan dedikasi peserta sukarelawan program tersebut.

“Penganjuran Rockcops yang sebahagian besarnya diikuti oleh golongan belia menunjukkan masih ada yang prihatin menjaga kebersihan bandar raya Kuala Lumpur di samping mendidik mereka kepentingan bersama menjaga alam sekitar,” ujarnya.