Didik wira eko masa hadapan


PARA pelajar dari enam buah sekolah yang mengambil bahagian melakukan aktiviti bagi mengawal kualiti air di sebatang anak sungai.


RAKAN Alam Sekitar merupakan satu program tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang dilaksanakan oleh Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dalam usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan memelihara alam yang kita diami.

Ini termasuklah menjaga kebersihan sungai yang menjadi nadi utama kepada pelbagai hidupan seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang berada di sekitarnya.

Diadakan buat kali pertama di Pensiangan, Sabah sejak dua tahun lalu, tahun ini program anjuran bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu mengambil tempat di Melaka.

Sebanyak enam buah sekolah di negeri Hang Tuah itu telah dipilih menyertai Program Rakan Alam Sekitar 2012 iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Baru, SK Bukit Lintang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yu Hwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru dan SMK Tun Mutahir.

Nilai murni

Melalui program ini, para pelajar berpeluang memainkan peranan aktif di samping menyemai nilai-nilai murni untuk memulihara sumber air asli seperti sungai dan tasik bagi mewujudkan persekitaran yang bersih.

Rakan Alam Sekitar diterajui oleh Bahagian Kimia CCM yang menyediakan pengalaman praktikal kepada pelajar terlibat bagi melakukan penyelidikan di laluan-laluan air berhampiran mereka serta melaksanakan projek pemuliharaan sungai.

Pengarahnya, Mohd. Nazmi Sallehhudin berkata, program berkenaan membantu pendidikan alam sekitar dari aspek menyedarkan generasi muda tentang alam sekitar serta menghargai anugerah alam semula jadi yang kita kecapi sekarang.

"Mewujudkan kesedaran dan mendidik kanak-kanak bukan sahaja dilakukan menerusi ilmu pengetahuan, tetapi juga mempelajari konsep mengambil tindakan yang betul dan bertanggungjawab yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

"Membentuk minda kanak-kanak pada peringkat awal boleh mempengaruhi tindakan mereka terhadap perkembangan di sekeliling mereka. Program ini secara tidak langsung mendedahkan para pelajar kepada pengetahuan teori dan kemahiran praktikal mengenai kebersihan serta kesihatan sumber air di sekitar mereka.

"Ini mampu menyedarkan mereka tentang alam sekitar dan membolehkan mereka belajar tentang bagaimana tindakan mudah berupaya menghasilkan perbezaan positif terhadap alam sekeliling," ujar Mohd. Nazmi.

Di bawah program berkenaan, para pelajar akan melaksanakan beberapa aktiviti seperti memantau kualiti air dan memeriksa paras pH sungai daripada sampel air dan organisma hidup dalam air menggunakan alat bioindikator yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

Para pelajar akan melakukan pengambilan sampel selama beberapa ketika bagi memastikan perubahan kualiti air sungai berdekatan sekolah mereka. Jabatan Alam Sekitar Melaka turut mengadakan kuiz untuk para pelajar dari sekolah-sekolah menengah terpilih supaya mereka benar-benar faham tentang pemuliharaan alam sekitar dan sumber air.

Usaha kementerian

Program Rakan Alam Sekitar 2012 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup.

Peraduan mewarna telah diadakan untuk para pelajar sekolah rendah sempena pelancaran program tersebut dan wang bernilai RM1,500 telah disampaikan kepada SMK Bukit Baru dan SMK Tun Mutahir bagi menubuhkan Kelab Rakan Alam Sekitar masing-masing.

Kelab Rakan Alam Sekitar merupakan salah satu daripada usaha kementerian untuk membina kesedaran tentang alam sekitar dan bagi mendorong penyertaan para pelajar dalam kegiatan pemuliharaan alam sekitar menerusi pendidikan.

CCM, pengilang farmaseutikal generik dan baja sebatian yang terbesar di Malaysia, tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dan merupakan pemain utama dalam industri baja, kimia dan farmaseutikal.