6 lelaki ditahan bantu kes pemilik bistro ditikam

03/12/2012 6:32pm

GEORGE TOWN — Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pemilik bistro maut ditikam ketika dia cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan di hadapan premisnya di Jalan Burma di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, mereka yang berusia antara 18 hingga 26 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini.

"Empat lelaki ditahan di sebuah restoran makanan segera di Greenlane beberapa jam selepas kejadian. Salah seorang daripada mereka mempunyai kesan kecederaan di kepala.

"Dua lagi lelaki ditahan di bandar raya ini pada pukul 9.15 malam tadi.

Usaha mengesan beberapa lagi suspek giat dijalankan," katanya.

Kong Meng berkata, kesemua mereka direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.— BERNAMA