Gelombang baharu rekaan hari bahagia



PELAMIN indah berhias, karpet merah menghampar dewan dan kad undangan juga sudah lama diterima jemputan. Apa yang pasti, segala persiapan terlaksana dengan rapi. Namun, saat menatap cermin sebelum langkah diatur ke pelamin, busana yang membaluti tubuh seakan-akan melenyapkan keyakinan.

Momen di atas bagaikan mimpi ngeri setiap bakal pengantin. Hakikatnya, busana raja sehari adalah teras daripada keseluruhan rancangan perkahwinan terutamanya kaum Hawa. Disebabkan itu, busana pengantin perlu cantik dan berupaya menyerlahkan kejelitaan mempelai wanita. Jika tidak, ia bakal menjadi palitan hitam dalam sejarah hidup si gadis.

Ironinya, sejauh mana pun zaman beredar, busana pengantin akan kekal sebagai persalinan paling utama dalam diri setiap individu. Memilih konsep, mencari pereka dan butik antara perkara penting perlu dilaksanakan bakal pengantin baharu.

"Majlis perkahwinan orang Melayu selalunya memerlukan pemakaian baju pengantin yang banyak. Baju tunang, nikah, malam berinai dan persandingan untuk kedua-dua belah pihak sudah boleh memberi gambaran sebenar ketaksuban masyarakat negara ini melaram pada hari bahagia mereka.

"Dahulu ia mungkin boleh didapati daripada butik-butik atau mak andam, tetapi hari ini, gelombangnya berubah apabila anak-anak muda lebih gemar menjalani sesi pemilihan pakaian perkahwinan mereka secara terperinci.

"Ia melibatkan perbincangan 100 peratus antara pereka dan pelanggan bermula daripada proses penetapan konsep, pemilihan material dan rekaan akhir sehingga sehelai busana itu siap sepenuhnya," jelas pereka fesyen tanah air, Hasfitri Yusof.

Konsep dongeng

Seiring dengan perkembangan positif itu, Hasfitri tampil dengan rekaan busana perkahwinan berteraskan kisah dongeng. Penggunaan sepenuhnya kain net lembut bersama pelapik sutera satin dan sedikit les, menyempurnakan persalinan pengantin yang mengidamkan konsep perkahwinan bak puteri fantasi.


WARNA lembut memberi perlambangan suci kepada pasangan pengantin.


Penampilan moden mampu diserlahkan menerusi mainan warna-warna pastel yang terdiri daripada krim dan merah jambu. Pilihan rona garang seperti merah turut ditawarkan. Menariknya, penggunaan bulu burung unta asli pada salah satu pakaian koleksi pereka sedang meningkat naik itu menambahkan semarak eksklusif kepada diri si pemakai.

"Potongan bak puteri diberi penekanan bagi membolehkan pengantin menyelami konsep dongeng yang dipilih. Bahagian bawah yang mengembang pula sengaja direka tidak ketat bagi membolehkan semua bentuk badan memakai busana ini.

"Rekaan baharu saya ini juga menampilkan dres yang diolah daripada kebaya yang diberi sentuhan Inggeris. Saya mendapat inspirasi daripada filem klasik Robin Hood, tetapi ia diadun bersama ciri-ciri kemelayuan," ujarnya yang memberitahu pakaian nikah dan perkahwinan yang direkanya diletakkan pada harga bernilai RM2,000 ke atas.

Tambah Hasfitri, koleksi kali ini juga menggunakan pendekatan pakaian dua helai (two piece), iaitu bahagian atas dan bawah didatangkan secara berasingan. Secara tidak langsung, ia menguntungkan pelanggan kerana dapat menyuaipadan pakaian tersebut untuk majlis berbeza.

Pertaruhan peplum

Pereka senior, Melvin Shah juga tidak terkecuali menggunakan pendekatan two piece. Baginya, baju perkahwinan zaman ini perlu mengutamakan nilai pelbagai guna. Rugi sekiranya ia hanya dipakai untuk sekali dan kemudian disimpan di dalam almari sebagai kenangan.

"Koleksi perkahwinan saya boleh dipakai untuk majlis makan malam atau acara eksklusif memandangkan ia ringkas dan tidak sarat dengan perincian mahupun aksesori.

"Potongan kembang payung yang digunakan diadaptasi daripada tradisi Melayu yang ketara pada ketepatan siluetnya. Bagi memberi sedikit nilai sentimental, saya mempertaruhkan unsur peplum dalam kebanyakan rekaan kali ini.

"Seperti yang kita tahu, peplum menjadi kegilaan pada era kegemilangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan ia kembali dipilih generasi muda yang menggemari busana berkonsep klasik," ujar Melvin yang ditemui Stailo pada sesi fotografi baru-baru ini.

Untuk pengetahuan pembaca, peplum merupakan unjuran yang menyerupai skirt pada blaus dari bahagian pinggang, kembang payung atau bersambung pada tali pinggang. Ia popular pada pertengahan tahun 1860-an dan 1930-an.

Tambah Melvin, pilihan warna lembut seperti kuning seakan-akan jingga (champagne) dan campuran merah jambu dan jingga (coral) pula menyuntik aura moden yang segar.


CIPTAKAN kelainan namun masih mengekalkan elemen glamor pada busana raja sehari anda.


Difahamkan, sebahagian golongan urban menggemari baju pengantin rona sebegitu kerana mereka mahukan penampilan yang santai tetapi kekal elegan.

Berkongsi pendapat berhubung persiapan pakaian perkahwinan, Melvin melihat ia lebih kepada kebijaksanaan pasangan tersebut. Ertinya, setiap bakal pengantin perlu tahu merancang pakaian apa yang hendak ditempah dan mana satu wajar disewa.

"Sebagai orang Melayu, sudah tentu pengantin mahu menyarungkan pakaian tradisional seperti songket. Persalinan ini hanya perlu disewa di butik pengantin kerana ia tidak praktikal untuk dimiliki.

"Baju songket yang disewa itu pula perlu dipilih dengan teliti agar tidak kelihatan ketinggalan zaman. Hari ini, banyak butik yang menawarkan songket perkahwinan berciri moden dari segi potongan dan sulaman," jelasnya menutup bicara pada petang tersebut.