Destinasi pilihan persandingan


TRADISI persandingan dalam rumah mengekalkan amalan bergotong-royong sesama keluarga.


1. Persandingan dalam dewan BUAT pasangan yang bercadang membuat majlis resepsi dalam dewan di ibu negara, pilihan seperti Dewan Perdana Felda mungkin boleh dipertimbangkan. Mampu memuatkan 2,000 tetamu dalam satu masa, dewan itu turut menawarkan perkhidmatan lima bintang yang merangkumi perabot, lantai berkarpet dan pelbagai item mewah. Sistem lampu, sistem audio dan fasiliti multimedia turut disediakan.

Majlis tambah meriah dengan perhiasan lampu kristal yang menghiasi ruang siling ibarat taburan bintang-bintang yang mencipta suasana gemerlapan dan glamor. Usah risau dengan ruang parkir kerana Dewan Perdana Felda menyediakan sebanyak 500 lot parkir kereta dan 240 ruang yang berbumbung.

Dewan tersebut juga diselenggara dan dikawal 24 jam oleh jurutera Felda malah diawasi polis bantuan bagi menjaga keselamatan tetamu. Servis kateringnya mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Aspek pembuatan dan hidangannya juga mengikut tuntutan syariah.

Majlis resepsi dalam dewan memerlukan solekan tebal memandangkan persekitaran yang dipenuhi lampu-lampu terang. Begitupun, solekan itu tidak perlu dilakukan secara keterlaluan.

Fokuskan pada solekan mata dengan warna sedikit gelap bagi menonjolkan mata yang bundar dan lebih segar. Pelamin pengantin perlu diletakkan ditempat tinggi bagi memudahkan tetamu yang hadir dapat melihat raja sehari terutamanya hadirin terletak jauh dibelakang.

Informasi: www.feldadsaji.com.my / 03-2698 8302

2. Persandingan siar tasik

Jika inginkan kelainan pada hari bersejarah, langsungkan saat indah perkahwinan anda di atas bot persiaran dengan disaksikan oleh sanak saudara terdekat dan sahabat handai. Salah satu pilihan destinasi perkahwinan atas kapal ialah Cruise Tasik Putrajaya yang menawarkan pelayaran penuh romantis dengan panorama mengasyikkan.

Dengan dekorasi dalaman bercita rasa klasik, ia turut dilengkapi perkhidmatan kelas pertama buat pasangan bercinta. Dengan hanya RM3,500 untuk jam pertama pelayaran, majlis bersanding lebih intim dengan tetamu yang diundang istimewa iaitu seramai 60 orang sekali perjalanan.

Hiasi layar cinta anda dengan bunga-bunga segar daripada rona-rona lembut dengan mengambil tema gaya Inggeris bagi menonjolkan sisi eksklusif perkahwinan yang didirikan. Sarungkan persalinan warna polos, solekan natural dan perhiasan rambut ringkas, sesuai dengan konsep yang dibawa.

Tidak perlu tempat persandingan yang terlalu besar cukup sekadar ruang khas untuk bergambar memandangkan kawasan yang terhad dalam bot pesiaran tersebut. Pilih satu sudut yang mudah untuk dilalui dan sedikit luas kerana tetamu akan berkumpul untuk mengambil foto kenangan bersama kedua mempelai.

Informasi: www.cruisetasikputrajaya.com / 03-8888 5539

3. Persandingan dalam rumah


MAJLIS atas bot persiaran mencetus sisi romantis kedua pasangan pengantin. - Gambar hiasan


Sudah menjadi kebiasaan, majlis perkahwinan yang diadakan dalam kawasan rumah menjadi tradisi turun-temurun.

Majlis tampak lebih meriah dengan hilai tawa sanak saudara dan jiran tetangga yang datang bergotong-royong membantu meringankan beban tuan rumah. Detik itu meninggalkan momen manis dan lebih bermakna apabila setiap kelengkapan dan perhiasan mendapat sentuhan peribadi ahli keluarga.

Pasangan pengantin dinasihatkan untuk mencari busana yang menyerap peluh daripada fabrik nipis dan ringan kerana keadaan suhu yang mungkin mencapai tahap membahang. Oleskan wajah dengan dandanan yang rapi dan padat bagi mengelakkan solekan cair akibat kepanasan.

Namun, akibat faktor ruang yang terhad dan kesibukan masyarakat kini, suasana meriah tersebut semakin hilang serinya kerana sering mendapatkan khidmat katering atau pengatur cara majlis perkahwinan.

Pilihan singgahsana persandingan perlu mengikut kesesuaian kawasan yang diberikan. Jika tidak mempunyai ruang yang luas, cukup sekadar pelamin dengan hiasan sederhana dengan padanan bunga- bunga saiz besar yang menjadi ikutan semasa. Warna juga memainkan peranan kerana warna yang terlalu terang dan berwarna-warni sedikit canggung malah boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman. - HAFIZ AHMAD