Nurul Sarah tak letak sebarang sasaran


NURUL SARAH mengakui yang dia sedang mempertimbangkan hasrat untuk bersara daripada mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.


ATLET pecut wanita negara, Nurul Sarah Abdul Kadir tidak meletakkan sebarang sasaran pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 di Vientiane, Laos yang akan bermula 12 hingga 20 Disember ini.

Menurut Nurul Sarah, agak sukar untuk dirinya kembali berada pada tahap prestasi sebenar selepas setahun tidak menjalani latihan.

“Saya hanya kembali menjalani latihan sebulan yang lalu. Itu pun ada juga saya tidak turun berlatih kerana komitmen terhadap pengajian saya di UPM (Universiti Putra Malaysia).

“Sebab itu, saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran kerana saya sendiri belum pasti. Namun, saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk membantu kontinjen negara,” kata Nurul Sarah ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada penampilan keduanya di temasya AUG edisi ke-16 kali ini, Sarah akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu 100 meter, 200 meter dan 4x100 meter.

Nurul Sarah berkata, dia akan lebih memberi keutamaan terhadap acara 200m kerana ia merupakan acara kegemarannya.

“Saya memang gemar acara 200m tetapi jurulatih (Harun Rasheed Othman) mahu saya memberi fokus yang lebih dalam acara 100m. Namun, seperti yang saya katakan saya akan cuba memberikan aksi terbaik.

“Saya menjadikan AUG kali ini sebagai platform untuk beraksi pada Sukan Universiti Dunia di Rusia tahun depan. Itu adalah fokus utama dan saya harap, saya mampu menunjukkan peningkatan prestasi,” katanya yang memiliki catatan peribadi terbaik 24.10 saat dalam acara 200m.

Sebagai rekod, Nurul Sarah berjaya meraih pingat emas dalam acara 4x100m pada AUG 2010 di Chiangmai, Thailand dua tahun lalu bersama rangkaian pelari terdiri daripada Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamed dan Norjannah Hafiszah Jamaludin.

Diminta mengulas mengenai barisan pencabarnya pada AUG di Vientiane, Nurul Sarah berkata: “Sudah pasti cabaran akan hadir daripada atlet-atlet Indonesia dan Thailand.

“Saya menjangkakan alet dari kedua-dua negara tersebut yang melakar kejayaan di Chiangmai akan sekali lagi beraksi untuk AUG kali ini.”