Belum ada rezeki mengandung



SUDAH setahun lamanya tidak kedengaran khabar mengenai penyanyi Ezlynn, 31, selepas dia mendirikan rumah tangga dengan pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin, 36, pada 20 November tahun lalu.

Ke manakah penyanyi dan juga pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu menghilang?

Bersua dengan penyanyi Hi Hi Bye Bye itu pada majlis pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia yang berlangsung di Menara KH, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ezlynn mendedahkan, dia bukan menghilangkan diri.

Kata Ezlynn, dia sebenarnya telah mengurangkan aktiviti seni selepas berkahwin kerana ingin menikmati masa penuh berkualiti dengan suaminya itu, selain bercuti di beberapa lokasi sekitar Malaysia dan Asia.

Selesai bercuti, ujar Ezlynn, dia sibuk pula menjalani rakaman penggambaran program realiti TV terbaharu terbitan Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia di Batu Cave, Selangor dan Cape Town, Afrika Selatan.

Sebulan di Jepun

“Sejak berkahwin pada 20.11.2011, kami berjanji ingin bercuti lebih lama iaitu selama setahun untuk nikmati bulan madu.

“Kami ke Tokyo selama sebulan dan tinggal di Akasaka. Memandangkan kami sudah bekerja sepanjang tahun, tidak tentu masa, kami bercadang untuk bercuti lama.

“Dua tahun lepas, kami ada bercuti di Los Angeles, Las Vegas dan San Francisco selama lebih sebulan juga. Alasannya, kalau pergi melancong dalam masa yang singkat tidak berbaloi kerana kita tidak akan mengalami betul-betul cara hidup dan pengalaman di sana,” kongsi Ezlynn yang turut bercuti ke Pulau Pangkor, Perak selama dua minggu.

Bercerita tentang pengalamannya berbulan madu di Jepun, penyanyi kelahiran Ulu Kinta, Perak itu memberitahu, dia dan suami sempat mendaki gunung Fuji dan melawat taman Fuji-Hakone-Izu.

EZLYNN dan Adam mula mengikat tali perkahwinan pada 20 November tahun lepas.


Ujar pemilik nama sebenar Azline Ariffin ini, dia dan suami juga menikmati pelayaran menerusi Lake Ashi dan hanya menggunakan basikal sebagai pengangkutan selama berada di bandar raya Tokyo.

Tidak menduga, dedah Ezlynn, selama berada di Jepun dia juga menempuh pengalaman merasa gempa bumi.

“Selain itu saya dan suami gemar aktiviti berbasikal. Selama berada di bandar Tokyo kami hanya berbasikal. Ini kerana bandar Tokyo terkenal dengan pengangkutan berbasikal.

“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah merasai suasana gempa bumi. Ketika itu kami sedang berjalan di sekitar bandar raya Shibuya, tiba-tiba terasa gegaran dan semua orang berlari keluar dari bangunan dan kedai. Kami juga mengikut arah semua orang berlari tanpa tahu hala tuju.

“Gegaran gempa bumi yang berukuran 4.5 skala Richter itu walau bagaimanapun tidak menjejaskan bangunan atau menyebabkan sebarang kecederaan,” tuturnya yang juga melawat DisneySea, iaitu taman tema terbaharu selepas Disneyland dibuka di Tokyo.

Berkongsi pengalaman romantiknya bersama Adam, kata Ezlynn, disebabkan suaminya mengetahui bahawa dia suka menari, Adam telah membawanya menyertai acara tarian di Festival Bon Odori.

Pakai sut lipas

Ezlynn merupakan salah seorang daripada 30 selebriti yang menyahut cabaran Fear Factor Selebriti Malaysia.

Program yang diadaptasi daripada format program popular Fear Factor dan telah diubah suai serta diberi nafas baharu mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia itu bakal ditayangkan pada 29 Disember ini sebanyak 13 episod, setiap hari Sabtu, pukul 9 malam, di Astro Ria (saluran 104).




Berpasangan dengan salah seorang peserta program realiti masakan MasterChef Malaysia musim pertama iaitu Nik Michael Imran, Ezlynn mengakui dia gemar menyertai aktiviti lasak dan tidak gentar melakukan cabaran yang paling ditakuti olehnya iaitu memakai sut yang dipenuhi lipas.

Ditebak dengan soalan sama ada tidak timbul kebimbangan di hatinya andai kata ketika menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia dia ditakdirkan mengandung, luah Ezlynn, disebabkan belum rezekinya untuk hamil dia lantas bersetuju menyertai program tersebut.

“Saya memang suka mencabar diri dengan menyertai aktiviti lasak.

“Sebelum sertai Fear Factor Selebriti Malaysia, kami perlu melalui proses pemeriksaan kesihatan. Tidak ada rezeki lagi untuk dapat anak, itulah sebab saya berani menyertai program ini dan tidak gentar melakukan cabaran-cabaran yang menguji ketahanan fizikal,” tuturnya.

Kata Ezlynn lagi, sebelum menyertai program tersebut, setiap selebriti perlu menyatakan ketakutan mereka dan dia mengakui sangat takut pada lipas namun cabaran itulah yang perlu dilakukan olehnya.

Tambahnya, dia dibawa ke sebuah hospital lama dan di situ dia perlu tidur dan memakai sut yang dipenuhi tiga jenis lipas.

“Benda yang paling saya takut saya kena buat masa sertai Fear Factor Selebriti Malaysia. Walau bagaimanapun saya tetap lakukannya.

“Ketika pakai sut tersebut, cuma mata saya yang tidak ditutup. Saya dapat rasakan beribu-ribu ekor lipas bergerak-gerak di badan, telinga dan mulut saya,” luahnya.

Buat kemunculan semula


EZLYNN dan suami menetap di Tokyo selama sebulan dan telah mengalami pelbagai pengalaman menarik sepanjang percutian mereka itu.


Mengulas mengenai kerjaya seninya, ujar Ezlynn, dia tidak lagi bersama syarikat rakaman Alibi Music, sebaliknya bergerak sendiri.

Keluar secara baik, jelas Ezlynn, ramai artis kini bergerak sendiri dan disebabkan itu dia juga mengikut langkah yang serupa.

“Sekarang saya bergerak sendiri. Saya sudah tidak bersama Alibi Music sejak bulan Mei yang lalu. Sekarang ini, Adam yang akan mengatur sendiri perjalanan karier saya,” ujarnya yang mempunyai syarikat bersama suami iaitu Ezlynn Entertainment Sdn. Bhd.

Menurut Ezlynn, dia akan membuat kemunculan semula ke persada seni dengan imej baharu.

Jelasnya, jika sebelum ini dia menyanyi lagu rentak pop, kemungkinan dengan kemunculan baharu ini dia akan menyanyikan lagu yang berentak balada pula.

Masih mengumpul bahan untuk lagu terbaharunya, ulas Ezlynn, imej terbaharunya itu mungkin dapat disaksikan peminat pada pertengahan tahun depan.