Rezeki terkumpul Hafiz



PENYANYI kelahiran Kuching, Sarawak, Mohd. Hafiz Mohd. Suip pada usia 22 tahun sudah memiliki kerjaya nyanyian yang kukuh hanya berbekalkan sebuah album studio yang berjudul Masih Jelas.

Semua lagu dalam album pertamanya iaitu Masih Jelas, Noktah Cinta, Watak, Awan Nano dan Ku Akui menjadi single popular, bahkan lagu Awan Nano turut dinobatkan sebagai lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26.

Umpama magis dalam kerjayanya, tahun ini sahaja, Hafiz telah bergelar juara dalam program Mania dan membawa pulang wang tunai RM500,000 menewaskan ramai penyanyi popular yang lain.

Penyanyi yang selesa dengan imej rambut kembang itu juga cukup hangat dengan dua buah lagu duet iaitu Ombak Rindu duet bersama Adira dan Muara Hati duet bersama Datuk Siti Nurhaliza untuk drama bersiri Adam & Hawa.

Semakin popular diiringi dengan deretan anugerah yang diterimanya membuatkan sahamnya semakin tinggi dalam industri seni.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah yang dilakukan anak muda berusia 22 tahun ini dengan wang yang diperolehinya itu?

Jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, dia bukan orang yang suka berbelanja tanpa berfikir sebaliknya setiap wang yang diperolehi hasil titik peluhnya disalurkan dalam simpanannya.

"Saya simpan untuk diri sendiri serta keluarga sebab saya tidak boleh ramal berapa lama jangka hayat saya dalam industri seni.

"Sebahagian saya hadiahkan kepada keluarga dengan membesarkan rumah ibu bapa di Kuching, Sarawak. Sebahagian lagi, saya simpan untuk membeli pelaburan seperti hartanah kerana nilainya semakin hari semakin tinggi," kata Hafiz sambil berkira-kira perjalanan kewangannya.

Ditebak lagi, sebagai anak muda pastinya dia mempunyai hobi yang mengisi masa lapangnya. Dalam tawa Hafiz mengatakan, buat masa ini dia amat menggilai sukan lasak paintball.

"Sudah lebih sebulan lebih saya aktif dengan sukan paintball. Ini hobi terbaharu saya kerana saya tiada masa untuk bersenam. Jadi, saya gunakan sukan ini untuk menghabiskan masa dengan rakan dan dalam masa yang sama boleh sihatkan badan.

"Saya sudah ada pasukan saya sendiri yang diberi nama Nano Cloud Regimen. Sesiapa yang mahu cabar kami dipersilakan (ketawa)," katanya yang layak dengan dua buah lagu, Ombak Rindu dan Ku Akui ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).




Selain itu, niat di hatinya ingin sekali menjejakkan kaki di Tanah Suci kota Mekah, bagaimanapun hasrat itu tertangguh sehingga kini.

"Sebenarnya sudah lama saya menyimpan niat untuk menunaikan umrah tetapi sehingga sekarang belum berkesempatan. Insya-Allah jika tiada aral melintang saya akan sampai juga suatu hari nanti," luahnya.

Rahsia Hafiz

Disoal apakah rahsia kejayaannya sehingga setiap lagu yang didendangkan pasti menjadi popular, jawab Hafiz, dia tidak mempunyai sebarang rahsia untuk dikongsi bersama mengenai perkara itu.

"Sebenarnya saya tidak ada rahsia ketika merakamkan lagu sebaliknya saya percaya inilah rezeki yang diberi Allah kepada saya.

"Sebagai penyanyi, tugas saya hanyalah menyampaikan lagu itu sebaik mungkin. Saya bukannya boleh ramal lagu yang saya nyanyi itu akan mendapat sambutan atau tidak, semuanya terpulang kepada selera pendengar."

Namun, akuinya, sebelum melalui proses rakaman lagu terbaharu sebagai penyanyi, dia memilih lagu yang hanya sesuai dengan kemampuan vokalnya sahaja.

"Pihak pengurusan akan berbincang dengan saya terlebih dulu dan saya akan lihat lagu itu sesuai atau tidak dengan vokal saya. Selepas itu barulah keputusan akan dibuat.

"Memanglah saya boleh menyanyi tetapi bukan semua genre lagu sesuai dengan suara saya. Lagu yang kena nyanyi hampir pecah tekak, tidak sesuai dengan saya. Jadi memang saya kena pilih," ucapnya Hafiz.

Bercakap tentang duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza, terangnya yang juga berbakat dalam bidang lakonan, dia sendiri tidak menyangka peluang keemasan begitu akan datang bergolek kepadanya.

Masih muda dan baru hendak bertatih dalam bidang nyanyian, Hafiz menganggap pemilihannya sebagai rakan duet Siti satu penghormatan yang cukup besar.

"Ikutkan saya sendiri terkejut apabila diberitahu saya akan berduet dengannya. Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan Siti Nurhaliza.

"Apabila sudah diberi peluang saya lakukan dengan baik dan penuh fokus. Alhamdulillah, lagu Muara Hati digemari ramai dan sering diputarkan di radio," tuturnya.

Kelas berbeza

Walaupun kerjaya seni Hafiz pantas berkembang berbanding dengan rakan seperjuangan program Akademi Fantasia musim ke-7 yang lain, Hafiz masih kekal seperti dahulu.


FIGURA muda ini mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah.


"Rasanya saya sama sahaja. Cuma kerja saya sahaja yang membuatkan saya berjumpa dengan orang ramai dan keluar televisyen, akhbar dan majalah," ucapnya.

Terlalu pantas mengecapi populariti dalam usia yang muda, akuinya memang banyak cabaran yang harus dilalui.

Bagaimanapun, keputusan nekad untuk bergelar penyanyi selepas berjaya melepas uji bakat program Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz pasrah dan melaluinya dengan tenang.

"Banyak cabaran menjadi penyanyi tambahan usia yang muda. Saya akui kadangkala saya silap membuat pertimbangan.

"Saya anggap itu hanyalah perjalanan kehidupan yang mematangkan saya dan membentuk Hafiz seperti hari ini. Bila ramai yang memuji, ramai juga yang mengeji.

"Selagi saya ingat pada keluarga, sedar diri, hargai sokongan peminat yang saya gelar sahabat dan tidak membuat sebarang kesalahan jenayah serius (ketawa), saya akan terus berada dalam industri seni" katanya.