Ferguson bertemu Guardiola


FERGUSON anggap Guardiola sebagai calon terbaik untuk menggantikan tempatnya selaku pengurus United.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson dilaporkan telah bertemu dengan bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola (gambar kecil) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Ferguson dikatakan berlepas ke AS bersama isterinya, Cathy ketika cuti pra Krismas dan mengatur pertemuan dengan Guardiola di New York.

Untuk rekod, ia merupakan pertemuan kali ketiga antara Ferguson dan Guardiola sepanjang berada di AS.

Pertemuan itu menghangatkan lagi spekulasi bahawa Guardiola bakal menggantikan tempat pengendali berusia 71 tahun itu di Old Trafford pada akhir musim ini.

Ini kerana Ferguson yang berkhidmat bersama United selama 26 tahun, dijangka bersara akhir musim ini.

Guardiola yang turut dikaitkan dengan Chelsea dan Bayern Munich menepati ciri-ciri yang dimahukan oleh pihak pengurusan United dalam usaha meneruskan kegemilangan skuad The Red Devils di bawah bimbingan Ferguson.

Selain Guardiola, Ferguson turut mencadangkan jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho dan pengurus Everton, David Moyes.

Guardiola meninggalkan Barcelona pada akhir musim lalu selepas memenangi tiga gelaran Liga Sepanyol dan dua kali juara Eropah.

Sementara itu, Mourinho dijangka akan meninggalkan Real pada musim panas ini namun beliau tidak dijangka akan menyertai United.

Pemain legenda United, Bobby Charlton yang memberi komen mengenai Mourinho berkata: "Dia adalah seorang jurulatih yang bagus tetapi United mungkin boleh mendapatkan pengurus yang lebih memahami corak permainan kelab itu." - Agensi