China akan buka laluan kereta api laju terpanjang


SEBUAH kereta api laju tiba di sebuah platform dalam wilayah Hebei semalam.


BEIJING/ZHENGZHOU - China bakal mempunyai landasan kereta api laju terpanjang di dunia apabila laluan tren itu yang menghubungkan bandar raya ini dengan kota metropolitan Guangzhou, di selatan negara berkenaan dirasmikan minggu depan, kata beberapa pegawai semalam.

Landasan sepanjang 2,298 kilometer itu yang kini beroperasi, akan memulakan perkhidmatan penuh pada Rabu depan dengan laluan tersebut menjimatkan separuh masa perjalanan kereta api antara dua kota utama itu.

Perjalanan dengan kereta api laju antara dua bandar raya berkenaan kini mengambil masa kurang 10 jam pada kelajuan mencecah 300 kilometer sejam.

Laluan baharu itu memberikan peluang kepada Kementerian Kereta Api China yang dihimpit pelbagai skandal dan kesilapan untuk menebus maruahnya.

Pada Julai 2011, satu kemalangan kereta api laju meragut 40 nyawa dan mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan laluan kereta api laju di negara berkenaan.

Beijing membelanjakan 2.3 trilion yuan (RM981 bilion) di bawah pelan lima tahun yang tamat pada 2015 untuk membangunkan sistem perkhidmatan kereta api laju di China. - Reuters