Tuah menyebelahi kami - Avramovic




BANGKOK - Menang nasib. Itu rumusan pengendali Singapura, Radojko Avramovic (gambar) sebaik pasukannya muncul juara Piala Suzuki AFF 2012 apabila menewaskan Thailand menerusi agregat 3-2 kelmarin.

Biarpun tewas 0-1 kepada Gajah Perang dalam final kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok malam kelmarin, kemenangan selesa 3-1 di tempat sendiri Rabu lalu sudah cukup untuk menjamin kejayaan Sang Singa muncul juara buat kali keempat sejak kejohanan ini diperkenalkan pada tahun 1996.

Tanpa berselindung, Avramovic yang turut membantu Singapura muncul juara edisi 2004 dan 2007 juga mengakui pasukannya bernasib baik kali ini memandangkan Thailand dilihat cukup garang sejak awal permainan.

Menurutnya, kesungguhan pemain Singapura mempertahankan kelebihan agregat juga wajar dipuji.

"Tanpa tuah, saya rasa kami tidak mampu muncul juara. Pujian juga perlu diberikan kepada pemain saya yang memberikan segala-galanya sepanjang perlawanan itu berlangsung.

"Saya tidak pernah meragui kemampuan pemain-pemain saya, dan ternyata kepercayaan saya terhadap mereka berbaloi," kata Avramovic.

Pada masa sama, Avramovic juga memuji kredibiliti dua tonggak pertahanan, Baihakki Khaizan dan Safuwan Baharudin yang cukup ampuh mengekang ancaman bertali-arus jentera serangan Thailand.

"Baihakki dan Safuwan bijak mengawal tekanan, tanpa mereka sudah tentu sukar buat kami," katanya.

Selain itu, Avramovic juga menafikan anak-anak buahnya sekadar bermain bertahan ketika berdepan Thailand di Stadium Supachalasai.

"Kami gagal memiliki peluang untuk menyerang memandangkan Thailand melancarkan serangan bertubi-tubi.

"Bagi saya, pasukan kami memiliki beberapa peluang menjaringkan gol, cuma ia gagal disempurnakan," katanya.

Dalam pada itu, Avramovic juga menamatkan spekulasi berhubung masa depannya bersama Singapura apabila mengesahkan aksi malam kelmarin merupakan perlawanan terakhirnya sebagai jurulatih Singapura.

"Ia sesuatu memori yang cukup indah, saya tidak mampu melakukannya seorang diri.

"Malam ini (kelmarin) merupakan yang terakhir buat saya menjadi jurulatih kebangsaan Singapura, selepas ini saya belum fikirkan lagi haluan seterusnya," katanya.