Tesco berjalan untuk leukemia


CHEF Sherson Lian memberi penerangan kepada peserta sebelum memulakan pertandingan Cook For Life.


TESCO Malaysia (Tesco) baru-baru ini telah menganjurkan aktiviti khas berjalan kaki beramai-ramai sebagai kempen membantu kanak-kanak yang menghidap leukemia. Acara Walk For Life pada 9 Disember lalu berjaya menarik lebih 4,000 penyertaan yang rata-ratanya terdiri daripada staf syarikat dan pelanggan setia pasar raya tersebut.

Walk For Life merupakan salah satu usaha Tesco untuk mengutip dana sebanyak RM1 juta bagi membantu 100 kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia yang berdaftar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat Tesco, Lee Ann Low memberitahu, pihaknya telah berjaya mengutip dana sebanyak RM200,000 menerusi program kebajikan yang telah dianjurkan sebelum ini.

“Untuk program Walk For Life ini, kami menyasarkan dana sebanyak RM50,000 hasil sumbangan setiap peserta untuk didermakan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik seterusnya meringankan bebanan kos perubatan mereka.

“Selain itu, kami turut mengundang 30 kanak-kanak yang menghidap pesakit leukemia bersama keluarga mereka untuk memeriahkan acara yang pertama kali dianjurkan ini,” ujarnya.

Berjalan sambil beramal

Acara dimulakan pada pukul 7.30 pagi itu dengan sesi pelepasan peserta yang akan berjalan mengelilingi trek sepanjang 3.4 kilometer di Taman Bukit Jalil.


PESERTA melakukan senaman aerobik sebelum memulakan pertandingan.


Selain acara jalan kaki, pelbagai gerai disediakan untuk para peserta mendapatkan informasi mengenai penyakit leukemia serta langkah terbaik untuk menjaga kesihatan.

Sementara itu, pertandingan Cook For Life yang dikendalikan oleh Chef Sherson Lian mendapat perhatian para peserta untuk mengetahui cara-cara penyediaan masakan yang berkhasiat.

Arbainah Ibrahim, 42, bersama anaknya yang juga merupakan seorang bekas pesakit leukemia, Faris Ahmad Irfan Shamsul Akmal, 13, hadir ke acara itu untuk memberi sokongan terhadap kanak-kanak yang menghidap penyakit tersebut.

“Saya mengetahui betapa sukarnya untuk menjalani sesi rawatan kemoterapi dalam usaha untuk menyembuhkan penyakit ini.

“Perbelanjaan yang diperlukan amat tinggi tetapi dengan semangat juang, penyakit ini boleh disembuhkan. Setelah setahun merana akibat penyakit ini, Faris kini telah sembuh sepenuhnya,” ujarnya ketika ditemui selepas dia dan anaknya itu menamatkan acara berjalan kaki.

Setiap yuran yang dikenakan untuk penyertaan acara iaitu RM15 bagi dewasa dan RM10 kanak-kanak akan didermakan terus kepada dana Helping Children with Leukemia.


PERSEMBAHAN variasi alatan perkusi daripada Kuala Lumpur Drumline Corps (KLDC) selepas peserta tamat sesi berjalan kaki.


Seorang lagi peserta yang menyertai acara amal anjuran Tesco, Chan Heng Chew, 52, memberitahu, dia tidak terlepas peluang untuk menyertai setiap acara anjuran PPUM termasuk Walk For Life.

“Selain daripada bersenam untuk menyihatkan badan, saya juga dapat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Acara ini amat bermanfaat kepada saya dan keluarga,” ujarnya yang menyertai acara berjalan kaki itu bersama isterinya, Tan Bee Bee, 49.

Orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik, boleh menderma dengan membeli produk keluaran syarikat Kraft Foods. Dengan setiap pembelian, sebanyak 10 sen akan didermakan kepada tabung kanak-kanak leukemia PPUM.