Kelangsungan hidup enggang di Thailand


TERDAPAT 13 spesies enggang di Thailand, manakala 10 jenis di Malaysia.


PROF. DR. PILAI POONSWAD, 66, dari Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Sains, Universiti Mahidol, Thailand sudah mengabdikan diri selama 34 tahun daripada keseluruhan usianya dengan melakukan kajian terhadap burung enggang.

Baru-baru ini, beliau bertandang ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman menjalankan usaha memelihara dan memulihara burung tersebut di sana.

Menurut Pilai, burung enggang sangat istimewa kerana beberapa ciri yang dimilikinya iaitu saiznya yang besar antara 60 hingga 150 sentimeter.

Burung enggang juga merupakan sejenis haiwan yang bersifat monogami dan terkenal dengan sifat kejujuran terhadap pasangannya.

“Paling menarik ialah burung enggang betina mengurung dirinya sendiri dalam sarang manakala burung jantan memberi makan kepada pasangan,” katanya dalam sebuah seminar yang diadakan di ibu pejabat Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Kuala Lumpur.

Di Thailand terdapat 13 spesies yang boleh ditemui antaranya seperti burung enggang papan (Buceros bicornis) yang berukuran 15 sentimeter, burung enggang kedut (Aceros leucocephalus), dan burung enggang jambul putih (Berenicornis comatus).

Musuh semula jadi burung enggang ialah marten berleher kuning, musang dan binturong.

Ancaman yang sering dihadapi oleh enggang ialah kegiatan memburu, pembalakan haram dan pencerobohan kawasan hutan selain kehilangan pokok-pokok berongga yang sesuai untuk sarang enggang.

Cabaran terbesar yang dihadapi pasukan Pilai adalah untuk meyakinkan pihak pemburu berdekatan Taman Negara Budo-Sungai Padi yang berkeluasan 340 kilometer persegi agar meninggalkan pekerjaan mereka.

Siri penerangan mengenai kepentingan tidak memburu enggang dan tanggungjawab para pemburu untuk tidak memperdagang burung tersebut juga giat dijalankan.

Kemudian, para pemburu yang telah meninggalkan pekerjaan mereka diberi tunjuk ajar supaya dapat menjadi pembantu penyelidik.

“Kami juga menjalankan pelancongan eko dan program anak angkat terhadap burung enggang. Mereka juga sudah menurunkan ilmu kepada anak-anak masing-masing,” ceritanya lagi.

Ubah suai pokok

Dalam pemantauan yang dilakukan dari tahun 1994 hingga 2008, bilangan pokok yang ditemui menjadi sarang burung enggang adalah sebanyak 168 batang.

Bagi memudahkan pembiakan burung enggang, pasukan Pilai dan orang kampung banyak melakukan pengubahsuaian pada pokok-pokok yang sedia ada.

Mereka menambah baik atau mengubah suai sarang dengan meletakkan platform pada rongga pokok supaya senang dihinggapi enggang jantan.

Bagi rongga yang terlalu besar, pihaknya memasang papan bagi mengecilkan sedikit, manakala bahagian lantai yang terlalu dalam, pasir diisikan ke dalam rongga itu supaya arasnya dapat dinaikkan, terang Pilai.


MARTEN berleher kuning ini merupakan antara musuh semula jadi enggang di Thailand.


Bagi pokok yang sesuai untuk dijadikan sarang tetapi tidak mempunyai rongga, pasukan pengkaji itu memasang sarang buatan supaya memudahkan enggang membiak.

Terdapat juga rongga pokok yang semakin mengecil kerana sarang burung enggang itu merupakan tumbuhan hidup yang membesar seiring masa.

“Kamu mungkin tidak kaya sekarang tetapi anak-anak anda akan berterima kasih atas apa yang telah dilakukan pada hari ini,” kata Pilai ketika memberi nasihat kepada penduduk tempatan.

Sepanjang berada di Malaysia, Pilai turut mengadakan sesi taklimat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan di jabatan-jabatan perhutanan di sini.