Banjir: 13 pekerja balak terkandas di hutan diselamatkan

27/12/2012 8:03pm

DUNGUN Seramai 13 pekerja balak di Pasir Raja, Hulu Kelamin, di sini berjaya diselamatkan sejak terperangkap hampir seminggu di tengah hutan belantara berikutan laluan keluar dari tempat kerja mereka ditenggelami air.

Kesemua 12 pekerja lelaki dan seorang wanita itu berjaya diselamatkan kira-kira 1.30 petang tadi menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut mangsa, Roslan Hamid, 52, mereka terperangkap hampir seminggu dan mereka telah memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak pengurusan dan pihak pengurusan meminta mereka bersabar dan akan menghantar bantuan.

Katanya, ada di antara rakan mereka terpaksa memberanikan diri menggunakan rakit, pelampung dan juga tayar untuk keluar dari tempat terbabit kerana bimbang bekalan makanan terputus.

"Kami mula terperangkap pada hari Jumaat lepas dan kami tidak berani untuk keluar berikutan air yang naik mendadak.

"Kami hanya mampu bersabar dan berdoa sementara menunggu bantuan tiba dan akhirnya bantuan itu tiba juga hari ini, katanya ketika ditemui. BERNAMA