Kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat lapan

29/12/2012 7:24pm

JOHOR BAHRU Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati setelah terjatuh dari tingkat lapan Blok Cemara 2, Flat Kuarters Hospital Permai, di sini semalam.

Kanak-kanak itu, D. Dinesh Kumar, anak sulung daripada tiga beradik, ditemui mati di lantai bangunan 15 tingkat itu dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam.

Bapa kanak-kanak itu, B. Devakumar, 22, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar membeli barangan keperluan dapur sementara isterinya V. Jayaturka, 22, pula sedang mandi.

Katanya, ketika kejadian Dinesh sedang bermain dengan dua adiknya di salah sebuah bilik.

"Sekembalinya dari kedai, saya lihat orang ramai berkumpul dan pada mulanya saya menyangkakan ada budak terjatuh ketika bermain di tingkat bawah.

"Bagaimanapun selepas menghampirinya, saya terkejut apabila melihat mangsa adalah anak saya dan ada saksi melihatnya terjatuh dari tingkat lapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini. BERNAMA