Pengumuman waktu 45 darjah


VARIASI warna ceria jam tangan Romago dengan contoh paparan antaramuka pada waktu rehat dan juga aktif.


GABUNGAN teknologi dan fungsi menjadi keutamaan kepada jam tangan yang berasal dari Switzerland, Romago dibawa khas ke Malaysia oleh pengedar tunggalnya, Crest Universe Sdn. Bhd.

Ia diperkuatkan dengan teknologi siri Superlenggera hasil ciptaan pereka Itali, Falice Bianchi Anderloni. Kepakaran itu menampilkan fleksibiliti pembuatan dan rekaan yang moden dan terkini. Melalui teknologi berkenaan, jam tangan Romago lebih ringan dengan fungsi unik 45 darjah cahaya lampu automatik.

Jam tangan ini dicipta secara khusus untuk mengenal pasti pergerakan aktif secara automatik. Dengan mekanisme sensor bina dalam, antaramuka jam yang kelihatan seumpama refleksi cermin akan bertukar lalu menunjukkan paparan waktu. Itu terjadi setiap kali pemakainya memandang jam tersebut yang disendengkan pada sudut 45 darjah di pergelangan tangan.

Diperbuat daripada besi aluminium gred tinggi, kaca pada bahagian atas adalah lutsinar merangkumi antirefleksi dan kalis silau. Ia turut dilengkapi fungsi-fungsi yang menjadi signatur Romago seperti 10 ATM. Itu membolehkannya dipakai ketika berada dalam air, pada kedalaman sejauh 10 atmosfera atau 100 meter di bawah laut.

Tidak hanya terhad pada golongan lelaki, Romago turut cantik dipakai oleh kaum wanita yang inginkan gaya yang menawan di pergelangan tangan mereka. Rekaan yang mengagumkan ini membuatkan mendapat tempahan awal daripada penggemarnya di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Crest Universe Sdn. Bhd., Ng Kok Wai berkata, jam tangan Romago menawarkan rekaan yang bergaya dan menarik. Ia menonjolkan keyakinan si pemakai dengan reka bentuk yang tiada tandingan.

"Jenama Romago masih lagi baharu dalam kalangan pencinta jam tangan tempatan dan kami amat berbesar membawa sesuatu yang baharu kepada mereka," ujarnya dalam sebuah kenyataan media.

Didatangkan dalam warna-warna yang ceria, jam tangan Romago kelihatan menarik kala menggayakannya dengan persalinan harian. Ia boleh didapati di 20 gedung jam tangan terpilih sekitar Lembah Klang pada harga antara RM280 hingga RM1,900.