Muslihat Johor DT

FANDI (dua dari kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang aksi pembuka tirai menentang Pahang malam ini.


PASUKAN tumpuan, Johor Darul Takzim (Johor DT) tidak akan menurunkan barisan terbaiknya pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, belum tiba masanya untuk beliau menurunkan barisan terbaik meskipun memiliki paling ramai pemain berstatus bintang.

Jelas Fandi, tindakannya itu bukan kerana memandang rendah pasukan lawan tetapi beliau mempunyai strategi tertentu.

“Kami perlu ‘simpan’ barisan terbaik kami. Ini semua saya pandang dari sudut taktikal, bukan kerana kami ingin memperkecil pasukan Pahang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun tanpa barisan terbaik, Fandi tetap memberi amaran bahawa Harimau Selatan mempunyai satu misi iaitu untuk meraih kemenangan, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.

Katanya, Johor Darul Takzim kini mempunyai semangat berpasukan yang lebih baik berbanding ketika tewas kepada pasukan Johor pada perlawanan akhir kejohanan jemputan empat penjuru Piala Tunku Mahkota Johor, 28 Disember lalu.

Begitupun Fandi mengakui, pasukannya pasti berdepan saingan sengit kerana yakin pasukan lawan akan memberikan komitmen yang lebih apabila bertemu Johor Darul Takzim.

“Dengan dibarisi pemain-pemain ternama, sudah tentu semua pasukan akan berusaha bermati-matian untuk menewaskan kami.

“Oleh itu, saya sering menasihati pemain-pemain saya agar sentiasa berhati-hati dan malam esok (hari ini) saya ingin mereka mencipta seberapa banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.

Johor Darul Takzim atau dahulunya dikenali sebagai Johor FC mula mencuri tumpuan apabila menandatangani kontrak bersama barisan pemain-pemain handalan seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak serta Mohamad Azmi Muslim.

Johor Darul Takzim juga berjaya mengikat dua pemain import, Daniel Gonzales Guiza yang juga bekas penjaring terbanyak La Liga serta pemain Serie A, Simone Del Nero.

Del Nero dan bekas pemain Sabah, K. Thanaraj bagaimanapun tidak akan diturunkan malam ini kerana masih cedera.