BL1M sasar bantu 500,000 pemohon muda

14/01/2013 7:08pm

KUALA LUMPUR Program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Barisan Nasional menyasarkan untuk membantu 500,000 pemohon dari kalangan orang muda mendapat lesen.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, selain menawarkan kursus memandu bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada kadar RM199, iaitu 50 peratus lebih rendah daripada harga biasa.

Program itu turut menawarkan beberapa keistimewaan lain antaranya yuran ujian berkomputer RM17 yang dikenakan bagi ujian berkomputer akan ditanggung sepenuhnya jika peserta terpaksa mendudukinya semula, katanya kepada pemberita sempena pelantikan My E.G. Services Bhd. selaku vendor bagi mengurus program itu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif MyEG, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha.

Khairy berkata, program BL1M adalah terbuka kepada warganegara berusia antara 17 hingga 40 tahun dan yuran RM199 yang dikenakan meliputi permohonan lesen, gambar, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan praktikal di institut memandu.

Orang awam yang berminat boleh mendaftar nama untuk menikmati insentif program itu melalui laman sesawang www.bl1m.my mulai hari ini dan mereka yang terpilih akan dihubungi setelah program itu dilancarkan, katanya.

Pendaftarannya akan dibuat selepas dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhir bulan ini. BERNAMA