Empat penyamun sempat makan ketika merompak

17/01/2013 10:18pm

MARANG Empat penjenayah bertopeng bukan sahaja berjaya menyamun barangan bernilai RM80,000 malah sempat mengisi perut sebelum melarikan diri dari rumah mangsa di Kampung Kubu di sini, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi tadi itu, sembilan sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum didatangi tetamu tidak diundang yang melarikan wang tunai dan barangan kemas milik mangsa.

Menurut Mek Nah Mat Ali, 49, yang merupakan ibu tunggal, ketika kejadian beliau sedang tidur bersama anak bongsunya, 9, di bilik tidur utama sebelum dikejutkan dengan dentuman yang memecahkan pintu bilik oleh penyamun menggunakan tong gas.

"Semasa itu, suspek yang bertopeng mengarahkan kami semua diam dan mengumpulkan anggota keluarga kami termasuk dua cucu saya di dalam sebuah bilik dan mengikat kami, katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Katanya, empat lelaki itu yang bersenjatakan parang, pisau serta kuku kambing sempat makan hidangan malam mereka sebelum melarikan diri bersama barang kemas, peralatan elektronik, 10 telefon bimbit, wang hantaran RM3,600 milik adik mangsa serta duit kutipan sewa lori.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

Katanya, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan satu gerakan memburu keempat-empat suspek sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. BERNAMA