Kebimbangan rambut gugur


SALAH satu daripada 10 rungutan utama yang diterima pihak 101 Hair Care ialah masalah keguguran rambut.


JIKA azam tahun baru anda mahu menjadikan diri lebih sihat, menarik dan lebih yakin, pandang ke atas untuk mencari jawapannya. Pandang ke atas bukan tujuan berdoa, tetapi untuk melihat rambut anda yang boleh diibaratkan sebagai mahkota diri.

Sempena menyambut tahun 2013, 101 Hair Care telah melancarkan kaji selidik kesihatan rambut buat pertama kalinya di negara ini dinamakan, HairChecker Survey 2013 bermula 9 Januari lalu hingga 15 Mac ini.

Kaji selidik itu akan menyingkap pengetahuan semasa rakyat Malaysia dan pandangan mereka tentang keadaan rambut masing-masing.

Menurut Pengurus Besar 101 Hair Care, Cellyn Chow, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari sejauh mana seriusnya masalah rambut seperti keguguran rambut hingga keadaan sudah menjadi terlalu lewat untuk merawatinya.

"Gejala awal dan berulang seperti kegatalan kulit kepala atau keguguran lebih banyak rambut daripada biasa yang tidak dihiraukan mungkin menandakan keadaan paling buruk bakal berlaku.

"Apa yang menyedihkan, langkah mudah untuk pencegahan boleh diambil bagi mengelakkan masalah jika mereka mempunyai pengetahuan yang sewajarnya," katanya.

Kualiti rambut

Tambahnya, dalam kaji selidik tersebut disertakan soalan-soalan asas seperti jenis masalah rambut, kekerapan mencuci rambut, faktor yang menjejaskan kualiti rambut dan tindakan yang perlu diambil apabila rambut seseorang itu mula gugur akan ditanya kepada peserta.

Peserta yang terlibat dalam kaji selidik tersebut layak untuk memenangi lima set hadiah utama berupa iPad Mini Apple, rawatan rambut peribadi dan produk penjagaan rambut bernilai RM10,380 dan lapan set hadiah sagu hati iaitu rawatan rambut peribadi dan produk penjagaan rambut bernilai RM3,088.

Keseluruhannya, hadiah berjumlah RM13,000 ditawar kepada orang awam dan hasil kaji selidik itu akan diumumkan pada akhir Mac nanti.

Dalam pada itu, bagi memberi lebih manfaat kepada orang ramai, 101 Hair Care juga akan menawarkan promosi istimewa sempena tahun baru di semua salunnya.

Orang ramai boleh mendapatkan dua sesi rawatan kulit kepala Revital dan dua sesi rawatan mesin lanjutan kulit kepala percuma serta satu sesi analisa rambut dan kulit kepala percuma pada harga RM488 berbanding harga biasa RM572.

Cellyn menjelaskan bahawa permulaan tahun merupakan masa paling baik untuk memperkenalkan kaji selidik kesihatan rambut.

"Kami mahu menyangkal salah faham orang ramai tentang isu rambut dan menggalakkan mereka menguruskan rambut secara proaktif untuk mengelakkan berlakunya masalah kehilangan rambut terlalu awal.

"Orang yang kehilangan rambut berasa rendah diri dan murung. Kami mendapati lebih ramai wanita daripada lelaki, orang muda termasuk kanak-kanak dan remaja mendapatkan rawatan di pusat rawatan rambut kami," ujarnya.

Tabiat pengguna

jelas Cellyn, melalui hasil kaji selidik tersebut, pihaknya dapat mengenal pasti tabiat pengguna dan penjagaan rambut di peringkat akar umbi.

Selaku pakar penjagaan rambut yang bertanggungjawab, ia membantu pihaknya lebih peka dalam memperkenalkan pelbagai kempen pendidikan masyarakat demi kesihatan rambut

Hasil kajian baru-baru ini yang dijalankan oleh Persatuan Sains Rambut Malaysia mengesahkan kebimbangan Cellyn terhadap isu kehilangan rambut di negara ini.

Presidennya, Dr. Steven Chow memberitahu, keguguran rambut merupakan salah satu daripada 10 rungutan utama yang disampaikan kepada pakar dermatologi.

Di Malaysia, satu daripada dua lelaki berusia lebih 50 tahun sedang kehilangan rambut atau sudah kehilangan rambut dan hampir 2.5 juta wanita Malaysia sedang mengalami kehilangan rambut pada pelbagai tahap.

Sebanyak 30 peratus daripada golongan lelaki mengalami masalah kehilangan rambut pada usia 30 tahun dan 50 peratus daripada mereka juga mengalami masalah kehilangan rambut apabila mencecah usia 50 tahun, manakala 50 peratus daripada golongan wanita mengalami masalah tersebut ketika menjangkau usia 60 tahun.

"Sungguhpun 95 peratus daripada kehilangan rambut di negara ini adalah berpunca daripada faktor genetik, ramai yang tidak tahu bahawa mereka boleh memainkan peranan untuk mencegah kehilangan rambut terlalu awal.

"Satu daripada salah faham apabila orang kehilangan rambut ialah mendapatkan rawatan, menggunakan produk berkaitan rambut atau mengunjungi salun rambut yang memburukkan lagi masalah rambut mereka dengan produk berasaskan bahan kimia," kata Cellyn.

Ujarnya, kunci kesihatan rambut ialah kulit kepala dan ia merupakan sebahagian daripada kulit manusia.

"Oleh itu, pemakanan dan penjagaan kebersihan sangat penting," pesan Cellyn.