Jojo Rakit 'syurga' kaki pancing



LANGIT membias warna kemerah-merahan sambil diiringi kepulan awan yang berarak perlahan. Berhembus pula angin sepoi-sepoi bahasa yang nyata membuatkan waktu petang begitu mendamaikan.

Matahari yang sedang terbenam mencetuskan satu fenomena yang indah di kaki langit dan mata seakan-akan enggan melepaskan pemandangan tersebut.

Bunyi kocakan air laut yang menampar binaan pelantar terapung Jojo Rakit melengkapkan suasana indah percutian di rumah rakit tersebut.

“Saya sudah lama merancang untuk bersantai bersama keluarga di Jojo Rakit. Pelbagai kisah menarik saya dengar daripada rakan-rakan yang pernah menginap di sini.

“Apabila merasai sendiri pengalaman tersebut, terasa sangat berbaloi. Sambil memancing, kami dapat menyaksikan keindahan langit pada waktu siang.

“Suasana pada waktu malam juga tidak kurang hebatnya, terutamanya dengan limpahan lampu dari kapal-kapal dagang yang berlabuh di sekitar kawasan ini,” kata Lajis Jalil, 50-an, dari Felda Bukit Besar, Kulaijaya, Johor, mengenai penginapan ala homstay berkenaan.

Dia yang datang bersama keluarga tidak melepaskan peluang memancing dan menikmati sesi barbeku. Anak-anaknya turut gembira kerana dapat turut serta menguji umpan joran selain berkaraoke.

Lokasi impian

Terletak di perairan Kampung Tanjung Buai, Kota Tinggi, kira-kira 12 kilometer (km) dari Bandar Kota Tinggi dan 30km dari Bandar Penawar, Desaru, Jojo Rakit kian menjadi sebutan ramai sekali gus pilihan lokasi impian buat komuniti kaki pancing.


SEISI keluarga seronok bersantai sambil menikmati suasana malam yang mendamaikan.


Kedudukannya yang dibina di atas paras air laut membuatkan kaki joran mudah melepaskan ‘gian’ memancing. Pada masa yang sama, minat tersebut dapat dikongsi bersama ahli keluarga yang dibawa bersama.

Pengunjung boleh memancing di sekitar Jojo Rakit tanpa mengira masa termasuklah menyewa bot untuk memancing di sekitar kawasan berkenaan.

Lebih menarik, lokasinya strategik kerana kawasan berkenaan merupakan lubuk bagi spesies ikan seperti kerapu, pari, unga, sembilang, merah dan siakap.

Hati pasti berbunga riang apabila berjaya menaikkan ikan-ikan berkenaan. Bukan setakat teruja pada cabaran ‘beradu’ kekuatan dengan ikan yang menyentap umpan, lebih daripada itu, ikan yang akhirnya berjaya dinaikkan menjadi menu utama semasa sesi barbeku.

Ikan yang segar pasti membuatkan pengunjung terbuka selera waktu mencicipi isinya.

Setelah puas dan penat memancing, penginap di Jojo Rakit boleh berehat di gazebo, menonton televisyen, menyerlahkan bakat nyanyian di ruang karaoke mahupun bersiar-siar menaiki bot.

Bukan itu saja, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti seperti menjaring, menjala, merawai, menaikkan bubu serta bento (ketam).


JOJO RAKIT diapung menggunakan 200 tong pelampung mampu memuatkan sehingga 200 pengunjung.


Keselesaan

Dengan hanya membayar kos penginapan mengikut keselesaan, pengunjung boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.

Bagi mereka yang hadir berkeluarga, kelainan pasti dirasai apabila momen istimewa percutian diisi dengan aktiviti memasak dan makan bersama sambil ditemani orkestra samudera.

Bagi yang ingin menikmati hidangan masakan masyarakat tempatan, pakej serendah RM5 hingga RM15 membabitkan menu sarapan hingga makan malam turut disediakan.

Pengurus Jojo Rakit, Syed Ben Bella Alhabshee Syed Agil berkata, Jojo Rakit yang diilhamkan daripada apungan 200 tong pelampung mampu menerima kedatangan antara 80 hingga 200 orang pengunjung pada satu masa.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Bella berkata, Jojo Rakit mempunyai 11 buah bilik dan empat bilik air dengan kadar sewa mengikut saiz iaitu bilik besar mampu memuatkan lima individu berharga RM120, sederhana untuk empat orang (RM80) dan RM70 untuk bilik kecil yang boleh memuatkan tiga orang.

“Setiap bilik dilengkapi katil, kipas dan televisyen malah pengunjung boleh menonton kira-kira 20 saluran Indonesia, Singapura dan Malaysia dengan jelas.

“Kami turut menyediakan pakej bot untuk memancing dengan kadar bayaran RM180 hingga RM220 bergantung kepada muatan bot.

“Kadar sewaan bot laju yang memuatkan seramai enam hingga lapan orang untuk tujuan bersiar-siar pula ialah RM300 sementara kayak pula boleh disewa pada kadar RM15 sejam,” katanya.


PERSEMBAHAN tarian zapin dan inang turut disajikan kepada para pengunjung.


Seronok

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Noraziani Mohd. Naim, 29, berkata, dia berasa seronok kerana pertama kali beriadah bersama keluarga di atas rumah rakit.

Dia yang datang bersama 50 ahli keluarga dari Ayer Hitam, Batu Pahat mengakui jatuh cinta pandang pertama sebaik melihat keadaan dan suasana persekitaran di Jojo Rakit.

“Kehadiran kami disambut dan diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan zapin dan inang. Kebetulan, kami turut mengadakan doa selamat dan tahlil sempena menyambut hari ulang tahun kelahiran tiga ahli keluarga kami di sini.

“Dapat berkumpul beramai-ramai sambil berkaraoke dan barbeku membuatkan percutian di sini satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya pasti akan menceritakan detik-detik manis sepanjang berada di sin ikepada rakan-rakan yang lain,” katanya.