Jangan percaya konon Bible dibakar - polis

24/01/2013 5:49pm

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menggesa orang ramai jangan mempercayai khabar angin kononnya ada acara membakar Bible versi bahasa Melayu di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth Ahad ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berikutan isu itu polis menerima laporan seorang paderi menemui risalah bertulis ”jom bakar...pesta bakar bible melayu demi masa depan cucu kita” yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja 20 Januari lepas.

"Kita minta jangan ada pihak yang percaya dan mensensasikan isu ini kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan mengundang perpecahan masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu sekiranya benar-benar diadakan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA