Jubah kontemporari buat jejaka

JUBAH berjalur besar membuatkan si pemakai kelihatan lebih menyerlah.


PERSALINAN lelaki kini tidak lagi terhad kepada pemakaian kemeja atau jean lusuh kerana terdapat variasi pilihan gaya maskulin yang mencorak penampilan harian.

Usah terperangkap dengan gaya serupa. Sekali-sekala beranikan diri memilih busana yang sedikit berlainan namun masih mengekalkan aura sang jejaka.

Jurubusana muda, Waridi Hamdan hadir dengan koleksi jubah istimewa buat lelaki yang dambakan sesuatu rasa baharu dalam almari busana mereka. Lari daripada stereotaip jubah konvensional, setiap rekaan ditampilkan dengan sentuhan dan idea kontemporari agar lebih kasual dan bersahaja.

Idea menzahirkan koleksi itu timbul kala Waridi tercari-cari jubah yang padan dengan kemahuan diri hingga tercetusnya koleksi yang dilatari percikan rona-rona lebih moden dan mengikut aliran fesyen semasa.

AURA maskulin terbentuk secara semula jadi dalam persalinan sopan ini.


“Koleksi jubah saya tidak setakat boleh dipakai ketika hari perayaan atau menghadiri majlis-majlis agama, malah tidak canggung ketika menyarungnya pada hari-hari biasa sama ada di pejabat atau acara keramaian,” ujar pereka kelahiran Ipoh, Perak itu ketika ditemui di studio Utusan, baru-baru ini.

Keselesaan menjadi intipati utama buat si pemakai kala menggayakan busana jubah Waridi. Pilihan fabrik seperti kain kapas dan campuran kapas amat sesuai dengan cuaca tempatan malah terasa nyaman tatkala menyarungkannya.

Istimewanya jubah ini adalah menerusi pilihan warna-warna yang sedikit berani selain beberapa helaian yang menggunakan kain bercorak persegi dan menjalur bagi menampilkan kelainan.

“Koleksi pertama banyak menggunakan warna-warna asas seperti hitam dan putih dengan penumpuan kepada kain corak berkotak-kotak,” ujarnya.

USAH gusar menyarungkan jubah moden ini ketika menghadiri acara kasual.


Rona-rona seperti biru, ungu dan merah keunguan yang terang menjadi pilihan untuk koleksi terbaharu. Bezanya, ia memberi penekanan pada kolar baju dan tangan yang menggunakan fabrik songket sebagai pelengkap gaya.

“Setakat ini, saya beroperasi menerusi laman sosial, Facebook dan mereka yang berminat boleh menghubungi saya di Facebook. Bagi setiap pembelian jubah tersebut, si pembeli akan mendermakan 10 peratus dariada harganya kepada badan kebajikan,” akhiri Waridi.