Berpotensi dirombak


SKUAD lebuh raya negara besar kemungkinan akan mengalami perubahan bagi menghadapi saingan LTdL 2013 yang akan bermula bulan depan.


BIARPUN baru seminggu menjalani latihan mengikut laluan sebenar Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, ketua jurulatih kebangsaan, Aminuddin Sulaiman sudah memberi bayangan bahawa pertukaran bakal berlaku dalam skuad lebuh raya negara.

Menurut Aminuddin, beliau kini dalam pemerhatian serta membuat penilaian ke atas beberapa pelumba simpanan yang lain yang dibawa bersama dalam skuad utama sejak latihan mereka bermula 22 Januari lalu.

"Setiap pelumba telah mempamerkan prestasi yang baik dan saya tidak lagi menerima sebarang aduan atau melihat ada masalah dalam kalangan antara mereka.

"Begitupun, saya dapat lihat ada pelumba-pelumba tambahan lain yang saya bawa menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan telah menunjukkan prestasi lebih baik daripada pelumba yang telah disenaraikan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Skuad lebih raya telah menamakan enam pelumba yang akan berentap pada kejohanan edisi ke-18 itu yang akan berlangsung pada 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Antara nama yang disenaraikan ialah Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rosli, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd. Fakhrullah Alias dan Mohd. Ekbar Zaman Huri.

Aminuddin berkata, dua daripada pelumba tersebut mungkin akan digantikan dan perubahan tersebut akan dilakukan berdasarkan prestasi semasa mereka dan strategi yang akan digunakan kelak.

"Buat masa sekarang saya tengah menilai dan 'membanding-bandingkan' prestasi mereka. Saya bawa 14 orang pelumba termasuk enam pelumba yang disenaraikan sebelum ini.

"Pelumba yang kami senaraikan sebelum ini pun mengambil kira pencapaian mereka tahun lalu, namun seminggu sebelum LTdL barulah kami buat keputusan siapa yang akan beraksi nanti. Kadang-kadang ada yang meningkat secara mendadak apabila perlumbaan semakin dekat.