Konsert otai rock tiga hari tiga malam


BARISAN penggiat muzik rock 1990-an bakal menggegarkan Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 hingga 9 Feb ini.


RIUH-RENDAH seketika Studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Ketika itu diadakan satu sesi fotografi bersama beberapa buah grup rock 1980-an dan 1990-an yang digabungkan bersama.

Fotografi tersebut nyata bukan sekadar sesi biasa bagi mereka, bahkan menjadi menjadi ruang untuk bertemu dengan rakan-rakan 'sealiran.'

Antara yang hadir termasuklah kumpulan Utopia, Meditasi, Samudera, CRK, Putra, Satira, Burnmark, EYE, Lela, Graviti, Junction, Handy Black dan Bloodsheed. Ada antara grup tersebut yang kali terakhir mengikuti sesi fotografi bersama media sekitar tahun 1990.

"Kumpulan-kumpulan rock otai sudah lama tidak mendapat publisiti di media. Apabila dapat berkumpul seperti ini untuk satu sesi fotografi, ia suatu pengalaman yang berharga buat kami.

"Gamat seketika kerana dapat bertemu dan berkumpul seperti ini. Kumpulan saya (Meditasi) sendiri kali terakhir tampil dalam sesi fotografi adalah pada tahun 1992 iaitu ketika album terakhir," ujar vokalis kumpulan Meditasi, Burn selaku jurucakap kepada barisan kumpulan rock tersebut.

Pada awalnya, sesi tersebut diaturkan khas buat vokalis kumpulan terbabit sahaja, namun atas sokongan daripada ahlinya, kira-kira 25 orang daripada pelbagai grup hadir untuk menjayakan sesi tersebut.

Kesemua mereka bukan sahaja hadir membawa mesej bahawa grup berkenaan masih belum terkubur, bahkan turut membawa perkhabaran bahawa akan diadakan sebuah sebuah konsert rock secara besar-besaran tidak lama lagi.

Bakal berhimpun selama tiga hari tiga malam di Stadium Putra Bukit Jalil, Selangor pada minggu hadapan, konsert yang digelar Rockers... Apa Khabar itu dijangka menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia.

"Konsert itu akan diadakan pada 8 hingga 10 Februari ini, bermula pukul 4 petang hingga ke tengah malam. Pastinya kami menjanjikan sebuah persembahan penuh bertenaga secara langsung buat para peminat.

"Lebih menarik lagi kerana kami tidak meletakkan had usia kepada sesiapa sahaja untuk hadir bagi menikmati lagu-lagu rock popular sepanjang zaman itu. Masuk adalah percuma," kata Burn kepada Sensasi Bintang.

Tidak sekadar sebuah konsert, program itu turut dirakamkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia juga bakal ditayangkan sebanyak 13 episod di saluran TV2 bermula Jun ini.

Sebanyak 13 kumpulan rock yang terlibat dalam konsert tersebut termasuklah kumpulan EYE, Utopia, Meditasi, Lela, Samudera, Burnmark dan Handy Black. Pada setiap hari konsert berlangsung antara empat dan lima kumpulan akan mengadakan persembahan mereka.

Setiap grup akan menyampaikan enam buah lagu popular masing-masing seperti Sinambungan Cinta oleh Graviti, Maya Percintaan (Utopia), Surat Dari Hiroshima (Satira), Bidadari (Lela), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Izinkan Selamanya Nama di Hati (EYE) dan Kain Cinta Putih (Putra).

Selain itu kumpulan Junction tidak akan ketinggalan untuk menyampaikan lagu Demi Cinta Setia di samping lagu Titian Hasrat oleh Samudera, Secebis Rayuan (Burnmark) dan Engkau Yang Bernama Seri (Handy Black).

Jelas Afee yang merupakan vokalis kumpulan Utopia, lagu-lagu yang dipopularkan sejak tahun 1980-an dan 1990-an itu tetap segar hingga kini biarpun ahli grup tersebut tidak lagi dikenali seperti suatu ketika dahulu.

"Peminat lagu-lagu kami tidak terhad pada mereka yang membesar kepada zaman itu, bahkan peminat baharu juga semakin bertambah. Boleh dikatakan ramai yang tidak kenal siapakah penyanyi tersebut dan sekadar tahu nama kumpulan dan lagu sahaja.

"Justeru kalau peminat mahu mengenali siapakah penyanyi di sebalik lagu-lagu yang masih popular itu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert yang diadakan secara besar-besaran buat pertama kali itu. Saya pasti, peminat yang tidak kenal siapa kami akan turut menyanyi bersama-sama nanti," kata Afee.

Konsert yang bakal menjadi sejarah buat industri muzik tempatan itu apabila rakaman selama sejam buat setiap kumpulan akan dirangkumkan sebagai sebuah jurnal grup terbabit.

"Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa konsert tersebut bakal menjadi khazanah negara kerana rakaman itu bukan sekadar konsert semata-mata tetapi terdapat sesi temu ramah bersama setiap kumpulan. Turut dipaparkan di televisyen nanti termasuklah aktiviti yang pernah dilakukan dan gambar-gambar lama kami," ujar Isa daripada kumpulan Graviti.

Tambah Burn, usaha memperkenalkan semula jenama-jenama rock yang sepi daripada liputan media itu bukan sahaja untuk kepentingan grup yang terbabit, bahkan turut merangkumi usaha mengembalikan kegemilangan industri muzik tempatan.

Mengakui sedikit 'takut' dengan produk-produk muzik import yang semakin banyak membanjiri pasaran hiburan tempatan, usaha mereka itu sedikit sebanyak dapat menarik perhatian anak muda yang cenderung kepada naskhah yang enak didengar.

"Pada zaman kegemilangan rock suatu ketika dahulu, begitu sukar untuk muzik luar masuk ke negara ini kerena kita mempunyai kekuatan. Bahkan lagu-lagu kita juga diterima di negara jiran sehinggakan pada suatu ketika berlaku sekatan kerana mereka bimbang kita akan memonopoli industri Indonesia.

"Namun, sejak kebelakangan ini, industri muzik tempatan seolah-olah membuka ruang yang besar untuk orang luar memonopoli pasaran muzik semasa.

"Pastinya keadaan itu tidak sihat untuk industri muzik tempatan. Biarpun usaha untuk memperkenalkan semula irama rock ini berdepan kesukaran, namun sekurang-kurangnya generasi baharu akan kenal siapakah penyanyi di sebalik lagu-lagu yang mereka dendangkan di pusat karaoke mahupun yang mendengarnya di radio," kata Burn.

Usaha mengembalikan kegemilangan zaman rock kapak atas kerjasama pihak kerajaan itu turut memberi semula nafas buat grup-grup yang pernah mencetuskan fenomena tersebut.

Biarpun masih tidak putus-putus menerima pulangan berbentuk royalti daripada Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), jelas Burn, grup tersebut seolah-olah kembali kepada zaman permulaan apabila menyara hidup dengan mengadakan persembahan di majlis perkahwinan dan majlis korporat sahaja.

Dalam sibuk bercerita, Afee mencelah bahawa kebanyakan daripada grup rock otai masih lagi kekal bersama ahli asalnya, bahkan banyak yang belum terkubur kerana minat masing-masing untuk tidak berpisah.

"Memang sukar untuk kami mengadakan persembahan secara berkumpulan kerana kebanyakan penganjur sekadar menjemput vokalis sahaja atas kekangan bajet. Walaupun kurang meriah apabila menyanyi bersama minus one, tetapi itu hakikat yang harus ditelan.

"Ramai yang tidak tahu sebenarnya kebanyakan daripada kami memang masih aktif dalam arena muzik, cuma tidak sepopular dahulu," ujar Afee.