ACC 2013 medan pulih reputasi


IMBAS KEMBALI.. Dari kiri, Azizulhasni, Josiah dan Fatehah meraikan kejayaan masing-masing pada ACC 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.


KEJOHANAN Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 yang akan berlangsung di New Delhi, India bulan depan seharusnya menjadi medan kebangkitan bagi skuad lebuh raya negara melakar kejayaan.

Selain mengharapkan dua pelumba berstatus Olimpik - Amir Mustafa Rusli dan Mohammed Adiq Husainie Othman, skuad lebuh raya negara juga mampu menyandarkan harapan kepada beberapa pelumba yang memiliki karisma tersendiri.

Sudah pasti pasangan adik-beradik - Mohd. Zamri Saleh, 29, dan Mohd. Harrif, 24, turut menjadi harapan buat skuad lebuh raya negara memburu kejayaan di bumi New Delhi nanti.

Kedua-dua pelumba itu yang kini menggalas cabaran Terengganu Cycling Team (TSG) bukan sahaja dilihat serasi berganding bersama, namun kelebihan berkayuh di laluan landai turut ‘membuka mata’ Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menyenaraikan mereka dalam skuad elit lebuh raya.

Mereka akan berganding bahu dengan dua lagi pelumba berpengalaman - Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi dan Muhamad Rauf Nur Misbah selain Amir Mustafa.

Adiq pula diletakkan harapan untuk beraksi dalam kategori Bawah 23 tahun (B-23) - berganding bersama-sama Nik Mohd. Azwan Zulkiflie, Ahmad Fakhrullah Alias, Yusrizal Usoff, Mohd. Ekbar Zaman Huri dan Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri.

Menjelang ACC 2013, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab amat berharap skuad lebuh raya mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang, sekali gus menyumbang pingat.

“Kami memang sangat mengharapkan skuad lebuh raya negara melakar kejayaan dengan menaiki podium.

“Laluan pada perlumbaan itu nanti agak rata, jadi saya harap dengan bantuan rakan-rakan sepasukan yang lain, Zamri dan Harrif sekurang-kurangnya mendapatkan pingat gangsa.

“PKBM memilih Zamri dan Harrif bukan kerana mereka beraksi bersama TSG tetapi prestasi yang dipamerkan menjadi keutamaan.

“Bagi kategori B-23, Adiq pernah menang pingat perak pada ACC 2012 di Kuala Lumpur, kemudian (dia) beraksi bersama pelumba-pelumba terbaik dunia pada Sukan Olimpik 2012.

“Jadi saya harap dia boleh buat sesuatu atau paling kurang pun mempertahankan pingat perak yang dimenanginya tahun lalu,” kata Abu Samah ketika dihubungi Kosmo!kelmarin.

Abu Samah berkata, prestasi Adiq cukup konsisten sejak beberapa tahun lalu dan pelumba berusia 22 tahun itu tidak mungkin akan mengabaikan latihan bersama pasukannya, Champion System.

“Saya tidak ada rasa was-was atau curiga dengan Adiq, mungkin kerana taraf dia sebagai pelumba profesional, jadi dia tidak akan sesekali mengabaikan latihan.

“Saya tahu dia ada rasa tanggungjawab. Kalau dari segi latihan lebih kepada pasukannya, Champion System. Ketika ini pun dia berada di Doha bersama pasukan itu untuk menyertai Jelajah Qatar 2013,” katanya.

Untuk rekod, skuad lebuh raya pernah meraih pingat emas pada ACC 1971 di Singapura menerusi acara lepas beramai-ramai 10 kilometer (km) hasil sumbangan legenda negara, Allahyarham Daud Ibrahim.

Bagaimanapun, sehingga kini, skuad lebuh raya negara masih gagal mencari pelumba yang mampu menghadiahkan emas kedua buat negara.

Abu Samah berkata, berdasarkan kepada kejohanan yang disertai para pelumba sepanjang tahun lalu, skuad negara kini sudah mampu untuk membawa pulang pingat kemenangan.

“Setiap pelumba ada kelebihan masing-masing seperti melakukan pecutan dan pemecahan. Ini kerana mereka telah didedahkan dengan pengalaman beraksi pada Le Tour de Langkawi (LTdL), Jelajah Korea dan Jelajah Vietnam.

“Justeru, saya harap pelumba kita bukan sahaja cemerlang di negara sendiri sahaja... di tempat lain juga mereka harus mempamerkan prestasi yang bagus,” jelasnya.

Bagi skuad lebuh raya wanita pula, Abu Samah mengakui penampilan semula pelumba berpengalaman, Noor Azian Alias berupaya untuk sekurang-kurangnya menjelmakan pingat.

Menurut Abu Samah, kehadiran Noor Azian yang meraih perak pada ACC 2007 mampu memperkuatkan lagi skuad kali ini yang turut dibarisi Nurul Syuhada Zainal, Ju Pha Som Net, Mariana Mohamad, Masziyaton Mohd. Radzi dan adiknya, Mardiana.

“Saya berharap Noor Azian boleh bantu skuad wanita negara membawa pulang pingat nanti kerana kombinasi pelumba pada kali ini sangat bagus.

“Noor Azian dan Jup Pha merupakan pelumba pecut yang sangat baik manakala pelumba yang lain pula mempunyai kelebihan untuk keluar daripada kelompok besar,” jelasnya.

Dalam pada itu, sesuatu yang mungkin tidak pernah terfikir oleh para pelumba apabila mereka terpaksa bersaing di trek perlumbaan Formula Satu (F1) iaitu di Litar Antarabangsa Buddh.

Biarpun mengakui saingan kali ini agak membosankan kerana berlangsung di litar F1, Abu Samah tetap percaya ia akan memberikan pengalaman baharu kepada setiap pelumba.

“Buat kali pertama, (acara lebuh raya) ACC akan diadakan di litar F1 kerana India cukup terkenal dengan kesesakan lalu lintas.

“Pernah terjadi pada ACC 2005 di India sebelum ini di mana perlumbaan terjejas ketika para pelumba memasuki kawasan bandar kerana laluan yang terlalu sesak.

“Jadi pada ACC kali ini, pihak penganjur telah membuat keputusan mengadakan perlumbaan di litar F1 yang meliputi jarak kira-kira 5km bagi satu pusingan.

“Pada masa sama, para pelumba turut akan melalui laluan di luar sekitar litar F1, sekali gus menjadikan jarak satu pusingan ialah 11km.

“Jadi secara keseluruhannya, para pelumba akan bersaing dalam 18 hingga 19 pusingan untuk melengkap perlumbaan sejauh 200km,” kata Abu Samah.

Sementara itu, skuad trek kali ini diperkuat dengan pelumba-pelumba berkelas dunia, antaranya Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Muhamad Edrus Md. Yunos dan Fatehah Mustapa.

Azizulhasni masih lagi berada di tanah air kerana tidak dapat pulang ke Melbourne, Australia ekoran masalah kelewatan mendapatkan visa.

Dia sepatutnya kembali ke Australia selepas isterinya, Athiah Ilyana Abd. Samat selamat melahirkan anak sulungnya pada November tahun lalu.

Kehadiran Azizulhasni yang membuat penampilan cemerlang pada Sukan Olimpik 2012 di London sudah pasti menyemarakkan lagi semangat skuad trek negara bagi mempertahankan tiga pingat emas pada edisi kali ini.

Pada ACC 2012, Josiah tampil cemerlang meraih emas dalam acara keirin lelaki manakala Edrus mengungguli saingan 1km ujian masa individu lelaki.

Fatehah pula menjadi harapan setelah mempamerkan prestasi mengagumkan dengan meraih emas acara keirin wanita.

Selain tiga emas tersebut, skuad trek negara turut menyambar dua perak menerusi Azizulhasni dalam acara pecut dan keirin lelaki manakala Harrif meraih gangsa (10km scratch) tahun lalu.

Fatehah turut meraih pingat perak dalam acara pecut dan gangsa bagi saingan ujian masa individu wanita.