Lelaki acu pisau didakwa di mahkamah

TALHAT memegang dua bilah pisau di luar Istana Buckingham di London kelmarin.


LONDON - Seorang lelaki yang ditembak polis Britain dengan menggunakan pistol renjatan taser ketika dia mengacukan sebilah pisau di luar Istana Buckingham di sini didakwa di sebuah mahkamah semalam.

Dia didakwa kerana berkelahi dan memiliki senjata tajam di tempat awam.

Polis Metropolitan London dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 54 tahun tersebut, Talhat Rehman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Westminster di sini.

Talhat yang berasal dari Harrow, barat laut kota raya ini, dilihat membebel sambil mengacukan pisau itu ke dadanya di luar istana berkenaan menjelang tengah hari Ahad lalu.

Dia kemudian ditangkap selepas salah seorang anggota polis 'menembaknya' dengan menggunakan pistol renjatan taser di hadapan orang ramai dan pelancong yang datang untuk melawat kediaman Ratu Elizabeth II itu.

Ketika kejadian, ratu tersebut dan suaminya berada di kediaman milik mereka di Sandringham, timur England.

Talhat berdepan dua dakwaan memiliki senjata tajam di tempat awam dan satu tuduhan berkelahi. - AFP