Putus cinta, Hairul Azreen mengaku salah

HUBUNGAN cinta Hairul dan Faralyna cuma mampu bertahan selama empat tahun.


SIAPA sangka hubungan cinta sesama pelakon, Faralyna Idris dan Hairul Azreen yang berlangsung selama empat tahun akhirnya terlerai. Kenyataan mengenai perkara itu sudah diluahkan oleh Faralyna dalam sebuah akhbar pada minggu lalu. Dia mengakui cinta mereka sudah sampai ke titik noktah.

Namun, Hairul Azreen belum lagi memberikan komen tentang perkara tersebut. Kosmo! berjaya mendapatkan Hairul Azreen untuk memberikan komen lanjut berhubung status hubungan mereka berdua pada sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon Hantu Kapcai itu mengenai kisah percintaan mereka yang putus di tengah jalan.

Kosmo!: Benarkah Hairul dan Faralyna kini sudah putus dan membawa haluan masing-masing?

HAIRUL: Ya, saya mengaku hubungan kini sudah sampai penghujungnya dan kami sudah membawa haluan sendiri. Kami putus kerana salah saya dan hanya kami saja yang memahami puncanya. Dia (Faralyna) telah banyak berkorban masa dan menahan perasaan kerana saya selama ini. Namun, kami masih berhubung dan berkawan.

Bagaimanakah hubungan Hairul dan Faralyna berakhir?

Hubungan kami semakin renggang sekitar hujung tahun lalu terutamanya ketika saya ke Cape Town untuk penggambaran Fear Factor Selebriti Malaysia. Apabila pulang ke Kuala Lumpur, kami berjumpa untuk berbincang masalah ini dan lebih kurang penghujung bulan Januari lalu kami memutuskan untuk berpisah.

Sebelum ini Faralyna dilihat sebagai individu yang membawa Hairul ke dunia lakonan dan sekarang Hairul pula seperti kacang lupakan kulit apabila sudah berjaya. Komen Hairul?

Dia banyak membantu saya memperkenalkan diri kepada ramai pengarah dan saya seolah-olah dilihat meninggalkan dia apabila sudah mempunyai kehidupan sendiri. Namun, saya masih membantu dia ketika susah dan baru-baru ini pun dia ada meminta pertolongan saya. Saya akan membantu dia selagi boleh. Saya pernah berjanji untuk membantu dia apabila susah.

Kalian sebelum ini pernah memberitahu ada merancang untuk mendirikan rumah tangga setelah lebih empat tahun bercinta. Adakah mungkin kalian akan berbaik semula?

Tidak mustahil kerana kami masih berhubung antara satu sama lain. Pernah saya bertanya mengenai hal berkahwin tetapi jawab Faralyna mungkin tidak akan berkahwin dalam masa terdekat. Harapan saya kini berada di tengah-tengah, kalau tiada jodoh dia bukan hak saya dan saya reda.

Hairul sudah temui pengganti Faralyna?

Sebelum ini saya ada berkenalan dengan seorang gadis yang bukan dalam industri seni dan ada memaklumkan perkara itu kepada Faralyna. Dia menyokong keputusan saya apabila saya memberitahu bahawa saya kesunyian dan perlukan teman wanita. Namun hubungan saya dan gadis itu tidak lama kerana saya memilih untuk tidak terikat dengan sebarang komitmen buat masa sekarang sekurang-kurangnya enam bulan. Fokus saya sekarang untuk bekerja dan mencari duit serta menempa nama.

Adakah kalian meletakkan syarat untuk digandingkan bersama dalam drama, filem atau sebarang acara selepas ini?

Tidak sama sekali. Kami masih boleh bekerja bersama dan menghadiri acara bersama-sama. Cuma khuatir orang luar akan bercakap sesuatu yang tidak enak didengar apabila melihat kami bersama walaupun sudah berpisah.

Sudi kongsikan perkembangan terkini Hairul?

Saya sedang menantikan tayangan filem Gila Gila Remaja 2 pada 21 Mac nanti yang menggandingkan saya dan Faralyna sebagai pelakon utama. Selain itu saya sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Syawal Untuk Abang dan Misi Kukuza bersama Nelydia Senrose.