Perkhidmatan KTMB antara bandar di Utara pulih

10/02/2013 5:28pm

BUKIT MERTAJAM Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara bandar sektor Utara yang terjejas selepas keretapi Ekspres Sinaran Utara tergelincir dan terbakar di Kampung Baru, dekat sini petang semalam, pulih sepenuhnya hari ini.

Jurucakap KTMB berkata, perkhidmatan kereta api antara bandar beroperasi seperti biasa sejak 9.11 pagi ini selepas kerja baik pulih landasan selesai.

"Gerabak Ekspres Sinaran Utara yang tergelincir juga telah dialihkan ke tempat lain hari ini manakala gerabak selebihnya dibawa ke Stesen Keretapi Bukit Mertajam malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelangan KTMB di talian 1-300-88-5862.

Semalam lebih 150 penumpang keretapi Ekspres Sinaran Utara terkandas selepas tergelincir di Kampung Baru, di sini ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur. BERNAMA