Sudah ada bayangan

THIEN HOW (belakang) dan Wee Kiong menunjukkan prestasi cemerlang pada Superliga Badminton Indonesia 2013 di Surabaya, Indonesia.


MALAYSIA sudah mempunyai bayangan awal barisan pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kempen Piala Thomas 2014.

Skuad negara atau dikenali Malaysia Tigers ketika muncul naib juara Superliga Badminton Indonesia 2013 di Surabaya, Indonesia kelmarin dilihat mempunyai potensi besar untuk menyerlah pada kejohanan berpasukan berprestij dunia itu.

Pada kempen di Surabaya itu, Malaysia Tigers membariskan Liew Daren, Chong Wei Feng, Mohd. Arif Abdul Latif dan Goh Soon Huat dalam acara perseorangan.

Acara beregu pula dibarisi gandingan Hoon Tien How-Tan Wee Kiong, Lim Khim Wah-Goh V Shem dan Mohd. Lutfi Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang.

Bagaimanapun, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan menganggap skuad tersebut akan menjadi lebih kuat dengan kehadiran pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Katanya, kehadiran Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong amat penting dalam menghadiahkan dua mata pertama buat Malaysia pada kempen Piala Thomas kelak.

"Bukan saya mahu cakap Daren sebagai perseorangan pertama dan Thien How-Wee Kiong sebagai beregu pertama tidak mampu memberikan mata kepada skuad negara tetapi situasi pasti akan menjadi berbeza pada Piala Thomas.

"Dalam acara berpasukan peringkat tertinggi seperti itu, dua mata pertama menerusi perseorangan dan beregu sangat penting. Berdasarkan pengalaman Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong, mereka lebih baik.

"Begitupun, mahu atau tidak, Daren, Thien How-Wee Kiong atau pemain-pemain muda yang lain harus bersedia kerana mereka merupakan harapan utama untuk edisi Piala Thomas seterusnya," kata Hendrawan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, hasrat untuk menyaksikan skuad negara muncul juara Superliga Badminton Indonesia 2013 tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada kelab Indonesia, Musica Champion pada aksi final.

Meskipun akur dengan kekalahan tersebut, namun berdasarkan prestasi kesemua pemain sepanjang tujuh hari kempen itu berlangsung, skuad negara menunjukkan petanda positif.

"Secara keseluruhan, saya memang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua pemain. Saya bercakap bukan untuk acara perseorangan sahaja tetapi beregu juga.

"Banyak peningkatan ditunjukkan oleh para pemain apabila beraksi dalam kejohanan di Indonesia itu terutamanya bagaimana cara untuk mengatasi tekanan.

"Kita dapat lihat kematangan para pemain apabila berdepan dengan situasi genting bagi mengutip mata penting dalam perlawanan," jelas Hendrawan.

Tambah Hendrawan, peningkatan yang ditunjukkan itu adalah petanda positif buat skuad negara sebagai persiapan awal untuk menghadapi Piala Thomas tahun depan.

"Begitupun, saingan Superliga tidak mencerminkan sepenuhnya persaingan yang bakal dihadapi pada Piala Thomas.

"Ini kerana, ia sekadar liga dan dibarisi pemain-pemain import dari negara lain dan mereka tidak beraksi dalam pasukan yang sebenarnya bersama rakan-rakan senegara," tambahnya.