Kenali tubuh anda


PEMILIHAN warnadan potongan yang bersesuaian dapat menyerlahkan aura kecantikan seorang wanita.


IMEJ bertudung tidak lagi menjadi sekatan buat para muslimah untuk tampil bergaya dengan persalinan yang menutup aurat berlandaskan syariat agama.

Penataan gaya yang bersesuaian perlu diambil kira oleh setiap wanita yang turut merangkumi pemilihan warna, corak dan saiz tubuh badan.

Mengenali tubuh badan sendiri amat penting bagi mendapatkan busana yang cocok dengan bentuk badan dan kelihatan cantik kala menyarungkan persalinan yang digayakan.

Stailo menemui dua perunding imej yang juga merupakan pemilik butik pakaian Muslimah iaitu, Hamshiah Hadzir dari butik Farniaa dan Azlia Idha dari butik Get Gorgeous, bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai bentuk badan dan pemilihan gaya yang tepat.

"Setiap wanita mempunyai bentuk badan yang berbeza dan ia terbahagi kepada lima jenis iaitu epal, pir, pembaris, hour glass (jam pasir) dan inverted triangle (segi tiga terbalik)," ujar Hamshiah.

Ujar Azlia pula, berdasarkan bentuk badan tersebut, mereka perlu mencari gaya yang bersesuaian dengan tubuh.

"Mereka perlu menonjolkan kelebihan tubuh badan dan elakkan memberi penekanan kepada kekurangan pada bahagian anggota tubuh. Sebagai contoh, jika mereka mempunyai pinggul yang besar, fokuskan kepada bahagian atas dan pilih warna gelap pada bahagian tubuh," ujar Azlia. Mereka berdua ditemui ketika acara Style Fest Malaysia yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

1 Bentuk buah pir

Mereka yang memiliki struktur tubuh pear mempunyai saiz yang lebar pada bahagian pinggul dan ke bawah. Penumpuan pada bahagian atas adalah digalakkan untuk mengalihkan tumpuan bahagian tubuh yang ingin diselindung.

"Gadis dalam golongan ini perlu mengelak memakai busana dengan rekaan payung kembang. Mereka seharusnya memberi fokus kepada bahagian atas, sebagai contoh memakai tudung daripada rona-rona terang dan ceria." terang Azlia.

2 Bentuk buah epal

Kontra kepada bentuk pir, penekanan pada bahagian bawah perlu dititikberatkan oleh mereka yang memiliki bentuk tubuh ini. Pilih rona gelap untuk bahagian atas dan rona terang untuk paras bawah.

"Bertuahnya gadis dengan bentuk epal, mereka mempunyai bentuk kaki yang kecil. Oleh itu, mereka boleh memakai skirt potongan A atau seluar palazzo bagi menampakkan gaya lebih menawan," jelas Azlia.

3 Bentuk jam pasir

Mereka yang berada dalam kelompok hour glass (jam pasir) mempunyai potongan badan yang menjadi dambaan setiap gadis kerana ia merupakan struktur sempurna dan seimbang.

"Berikan apa sahaja bentuk dan rekaan kepada gadis berbentuk hour glass, mereka akan kelihatan cantik dalam persalinan tersebut.

"Sesuaikan dengan padanan warna tudung dan baju yang sedondon bagi menonjolkan sisi anggun," ujar Hamshiah.

4Bentuk segi tiga terbalik

Bentuk bahu gadis dalam golongan ini adalah lebih lebar berbanding bahagian bawah. Mereka mempunyai bentuk yang sedikit maskulin dan atletik.

"Mereka boleh memilih busana Muslimah yang mempunyai garisan menegak bagi memberi efek yang ramping dan kurus," jelas Hamshiah.

5Bentuk pembaris

Gadis bertubuh pembaris mempunyai saiz kelebaran yang sama dari atas hingga ke bawah. Pemilihan baju yang agak sendat dan mengikut tubuh adalah amat tidak digalakkan kerana kelihatan kurang menarik.

"Pemakaian aksesori dapat membantu dalam penampilan gadis bentuk pembaris. Antaranya memakai tali pinggang selain memakai baju berlapis bagi menampakkan efek tubuh sedikit berisi." tambah Azlia. - HAFIZ AHMAD