Nigeria akhiri kemarau sedekad

PEMAIN-pemain Nigeria menjulang trofi untuk meraikan kejayaan mereka muncul juara.


JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Nigeria berjaya menamatkan penantian hampir sedekad apabila muncul juara Piala Negara-Negara Afrika 2013 sebaik menjinakkan Burkina Faso 1-0 dalam aksi final di Stadium FNB awal pagi semalam.

Gol tunggal perlawanan yang dicetak pemain muda, Sunday Mba pada minit ke-40 itu sudah cukup untuk menjadi pemisah kedua-dua pasukan dalam aksi yang cukup dramatik itu.

Sudah tentu, kejayaan The Super Eagles muncul juara kali ini dilihat cukup bermakna buat jurulatih, Stephen Keshi yang muncul individu kedua menjulang trofi selaku jurulatih dan pemain.

Dia sebelum ini merupakan watak penting Nigeria apabila menggalas tugas kapten semasa kali terakhir mereka muncul juara pada edisi 1994.

Selain Keshi, Mahmoud El Gohary dari Mesir merupakan satu-satunya individu yang berjaya menjulang trofi itu selaku pemain (1959) dan jurulatih (1998).

"Ketika saingan menghampiri penghujungnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana perasaan saya sebenarnya.

"Saya hanya berserah kepada takdir dan gembira apabila kami benar-benar memenangi perlawanan ini.

"Ketika menerajui pasukan ini setahun lalu, saya sentiasa memasang impian untuk menggembirakan seluruh rakyat Nigeria.

"Sejujurnya, pasukan kami belum sempurna. Tetapi saya optimis kami sedang menuju ke arah itu," kata Keshi selepas tamat perlawanan.

Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga Nigeria mendakap trofi Piala Negara-Negara Afrika selepas muncul juara edisi 1994 dan 1980.

Keshi memberitahu, beliau cukup gembira dengan apa yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang kempen kali ini.

"Mereka beraksi cemerlang serta kekal fokus sepanjang kempen ini.

"Bagi saya, pasukan kami benar-benar berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam mana-mana kejohanan selepas ini," kata Keshi.

Apa yang pasti, kejayaan Keshi menjulang Nigeria dilihat menutup mulut pengkritik yang sebelum ini mengetepikan beberapa pemain berpengalaman seperti Peter Odemwingie dan Obafemi Martins bagi mengharungi kempen kali ini. - Reuters