DBKL tebang pokok halang laluan pejalan kaki

13/02/2013 6:10pm

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menebang pokok yang rosak antara Jalan Melaka dan Bukit Nanas kerana didapati menghalang laluan pejalan kaki.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, DBKL dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan syarikat perunding landskap, Landskap Integrasi, mengenal pasti tidak kurang 15 batang pokok di laluan yang diberi nama ‘Jejak Warisan 2’ itu yang akan ditebang.

“Antara pokok yang akan ditebang atau diganti daripada jenis rain trees (Hujan-hujan), Angsana dan Bongor, serta yang tak sihat kita akan ganti dengan pokok berlainan spesies yang lebih baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi tinjauan mesra Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama media dan pertubuhan bukan kerajaan di laluan ‘Jejak Warisan 2’ di sini hari ini.

Laluan Jejak Warisan 2 sepanjang 1.5 kilometer itu bermula dari Jalan Melaka melalui Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan dan berakhir di Pusat Maklumat Perhutanan Bukit Nanas. - BERNAMA