Empat jiwa berkongsi rasa

DARI kiri: Talha, Amar, Nelydia dan Hairul sukses dalam memainkan peranan masing-masing dalam drama bersiri, Setia Hujung Nyawa.


FOTOGRAFI saat akhir bersama empat bintang drama Setia Hujung Nyawa yang kini menjadi buah mulut ramai iaitu Nelydia Senrose, Amar Asyraf, Talha Harith dan Hairul Azreen berjalan lancar pada petang hari Rabu lalu.

Berkongsi cerita pahit manis di sebalik kejayaan drama rantaian yang meraih tontonan tiga juta penonton menerusi saluran TV3 itu, keempat-empatnya tidak menolak bahawa Setia Hujung Nyawa meninggalkan kenangan terindah dalam kerjaya lakonan mereka.

Tidak menafikan tawaran yang bertandang bagai mencurah-curah impak kemunculan dalam drama tersebut, mereka bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu lekas tamak tanpa menghiraukan sisi eksklusif masing-masing.

Di sebalik impak positif yang diterima, ada antara mereka yang turut terkena tempias dicaci dan dimaki di luar set penggambaran kerana bencikan karakter antagonis yang dibawakan mereka dengan amat berkesan.

Romantika pertama Amar

Ketika mengadakan sesi bergambar dan temu ramah di studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, tidak dinafikan, Amar kelihatan sedikit pemalu pada mulanya. Perkara itu juga diakui oleh tuan punya badan sendiri ketika ditanya tentang dirinya.

Walaupun dalam Setia Hujung Nyawa, Amar kelihatan selesa melakonkan watak seorang suami romantik bernama Zain, namun hakikatnya, itu merupakan cabaran terbesar buat diri jejaka berusia 26 tahun ini.

"Sejujurnya, ini kali pertama saya melakonkan watak lelaki romantik seperti Zain dan bagi saya, ia sangat sukar. Ini kerana mungkin sebelum ini saya jarang mendapat tawaran untuk bawa watak sebegini.

"Zain merupakan seorang lelaki yang lemah lembut dan baik, jadi susah mahu lakonkan watak itu. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berlakon dengan perempuan. Namun Alhamdulillah, saya dapat pasangan yang senang bekerjasama dan kami terus punya keserasian dalam set, begitu juga dengan pelakon lain," tutur Amar yang tidak menyangka impak besar drama tersebut terhadap masa depan karier lakonannya.

Tambah Amar, pada mulanya dia memang ingin menolak tawaran berlakon drama ini - salah satu faktornya kerana dia perlu memotong rambut panjang yang disayanginya. Selain itu juga, tutur Amar, dia mungkin belum bersedia untuk memegang watak utama dalam drama rantaian 28 episod itu.

Namun akui Amar, atas sokongan dan mengikut kata hati tunangnya, dia akhirnya menerima watak Zain dalam drama yang telah mencetuskan fenomena ini sekali gus menaikkan namanya dalam industri seni.

Amar mengakui menghabiskan lebih RM7,000 untuk membeli pakaian dan menukar imejnya untuk Setia Hujung Nyawa.

Tambahnya, setiap kali penggambaran dia mengambil masa lebih sejam untuk mendandan rambutnya.

Selain lakonan, Amar bakal menerbitkan sebuah teater di bawah syarikat miliknya sendiri iaitu AVA Stage yang berjudul, Lelaki Dari Gua bermula 28 Februari ini di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi urusan pembelian tiket, boleh hubungi 013-697 0786.

Diri sebenar Nelydia

Tidak menjangka drama lakonannya kali ini mencipta magis tersendiri sehingga sering menjadi bahan 'panas' (trending) di Twitter, kata pemilik nama Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen atau mesra disapa Nely, dia percaya kekuatan drama ini adalah pada jalan cerita dan pengarahannya.

"Cerita yang sudah mempunyai peminat sendiri menerusi populariti novel ditambah sentuhan pengarah yang sangat unik memberikan nyawa kepada drama kali ini.

"Secara tidak langsung orang sekeliling makin kenal saya, malah penuntut dari luar negara di kolej saya pun selalu memanggil saya dengan nama El sempena watak lakonannya, Elsalina.

"Memang berbaloi mengorbankan masa siang malam untuk penggambaran Setia Hujung Nyawa kerana akhirnya ia membuahkan hasil. Alhamdulillah, watak manis dan manja kali ini menarik tumpuan penonton," ujarnya.

Nely mengakui karakter Ersalina dalam drama itu merupakan dirinya yang sebenar di rumah.

Talha diiugut

Bagi Talha Harith pula, Juvana adalah drama yang mula membantu dirinya membina nama dalam industri lakonan.

Sejak itu, apa sahaja watak yang dilakonkannya, pasti akan diingati oleh peminat yang mengikuti perkembangannya.

Menerusi Setia Hujung Nyawa, watak Hadi lakonannya pula menjadi sebutan ramai. Namun, berlainan dengan apa yang dialami Amar yang diingati kerana watak baik lakonannya, Talha sebaliknya pula.

"Sejak berlakon watak Hadi, ramai yang membenci dengan watak tersebut terbawa-bawa hingga ke kehidupan sebenar saya. Pernah sekali, kepala saya diketuk oleh seorang wanita di dalam lif dan wanita tersebut mula meluahkan kata-kata benci.

"Tidak cukup dengan itu, dalam laman Twitter dan Instagram, mereka yang tidak puas hati dengan Hadi, memaki hamun saya dan mengugut ingin membunuh serta menyimbah asid jika berjumpa dengan saya. Risau juga jika ia benar-benar terjadi," cerita Talha yang kini sering keluar bersama teman kerana khuatir perkara buruk berlaku.

Bicara Talha mengenai watak Hadi, ia agak mencabar dirinya. Ini kerana Hadi bukan watak antagonis yang biasa ditampilkan dalam kebanyakan drama. Talha perlu memberikan dua sisi berbeza iaitu nampak baik dari segi luaran namun, pada hakikatnya, Hadi seorang yang jahat serta ingin menghancurkan kehidupan rakan baiknya sendiri.

Walaupun mungkin dia dibenci ramai, akui Talha, itu tidak membuatkan dirinya untuk mengambil keputusan untuk tidak lagi menerima watak antagonis.

"Sebenarnya ia bagus untuk saya kerana, melalui respons yang diberikan oleh masyarakat sebegitu, saya tahu bahawa watak yang dibawa itu menjadi dan berkesan. Namun, pelik juga saya kerana selama ini saya fikir orang sudah boleh menerima ini semua lakonan semata-mata," jelas Talha.

Dialog Hairul jadi ikutan

Menariknya drama Setia Hujung Nyawa bagi Hairul Azreen Idris atau lebih dikenali dengan panggilan Hairul, penangannya terasa ketika pertengahan hingga akhir penggambaran drama itu.

"Kali pertama sebenarnya ,saya melakonkan watak 'comel-comel' sebegini. Susah nak mencari formula untuk membuatkan penonton suka tetapi Alhamdulillah resipi kali ini menjadi.

"Drama ini memerlukan saya memotong rambut saya menjadi pendek. Sebenarnya saya enggan menerima tawaran drama ini tetapi apabila dijanjikan watak saya cuma untuk 30 babak, jadi saya terima. Tidak sangka pula karakter Ikram dipanjangkan hingga ke episod akhir.

"Saya anggap watak saya penting kerana saya adalah pencetus cerita dan menyatukan El dan Zain semula. Perkara lebih menarik apabila dialog saya seperti 'Kak Bedah hok aloh' dan 'omey angat' menjadi ikutan dan jenaka kawan-kawan," katanya yang pernah disapa sebagai Ikram Kak Bedah.

Tambahnya, dialog yang sering ditokok tambahnya sendiri menggunakan bahasa perbualan sehari-harian mencorakkan watak itu yang dirasakan berjaya mencabar kemampuannya.